Gagal kawal emosi, punca tercetus ‘pertempuran’

Gagal kawal emosi, punca tercetus ‘pertempuran’

Tuaran: Aksi keras pemain ketika perlawanan dipercayai menjadi punca pergaduhan sekumpulan lelaki di gelanggang futsal di Taman Sri Rugading, di sini, pada 17 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 8 malam itu, pergaduhan dilaporkan tercetus ketika berlangsungnya perlawanan persahabatan membabitkan dua pasukan di daerah ini.

Tangkap layar rakaman video pergaduhan sekumpulan lelaki di gelanggang futsal di Taman Sri Rugading, Tuaran.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, siasatan awal mendapati, insiden pergaduhan berkenaan berpunca daripada kekasaran pemain ketika perlawanan berlangsung.

Bagaimanapun katanya, pergaduhan hanya berlaku di dalam gelanggang antara kedua-dua pasukan tanpa membabitkan penyokong atau orang luar.

“Pergaduhan itu dilaporkan berlaku kira-kira 22 saat seperti dalam rakaman yang tular sebelum berjaya dileraikan. Namun difahamkan, permainan diteruskan seperti biasa sejurus selepas itu.

“Sehingga hari ini, tiada laporan polis dibuat mana-mana pihak dan polis menasihatkan kepada pemilik dan pekerja gelanggang futsal tampil ke balai polis untuk membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim.

Mohd Hamizi berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terus menyebarkan rakaman yang boleh menjatuhkan maruah individu lain.

“Menyebarkan rakaman di media sosial dan sebagainya boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998/500 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya menjaga disiplin diri, kawal emosi ketika bermain futsal dan sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi bagi mengelakkan berlakunya pergaduhan atau perselisihan faham,” katanya.

Terdahulu, satu klip video berdurasi 22 saat yang dipercayai dirakam oleh individu dari gelanggang futsal berkenaan tular di media sosial dan aplikasi WhatsApp.

Insiden itu memaparkan pergaduhan sekumpulan lelaki di dalam gelanggang futsal apabila kedua-dua pasukan saling bertumbuk antara satu sama lain.

Sementara itu, Mohd Hamizi berkata, pihaknya akan sentiasa mengambil perhatian yang serius dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap sebarang kejadian jenayah.

Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis terutama berhubung insidien jenayah di sekitar daerah ini untuk tindakan segera.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|