Wanita melecur, lima rumah musnah terbakar

Wanita melecur, lima rumah musnah terbakar

Semporna: Seorang wanita melecur manakala lima rumah atas air musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Labuan Haji, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, tindakan pantas pasukan bomba dalam mengawal api kebakaran berjaya menyelamatkan 50 lagi rumah berhampiran.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.36 petang.

Katanya, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera bot kevlar dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan keluasan rumah seluas 8,631 meter persegi.

“Operasi memadamkan api kebakaran segera dijalankan dan api berjaya dikawal daripada terus merebak pada jam 6.34 petang,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang wanita melecur di bahagian tangan dan mangsa terus dihantar ke Hospital Semporna oleh orang awam.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 6.49 petang.

“Pasukan forensik JBPM akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti punca kebakaran dan jumlah kerugian dalam kejadian ini,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|