Usaha mencari dua nelayan hilang diteruskan

Usaha mencari dua nelayan hilang diteruskan

Semporna: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua nelayan yang hilang ketika memukat ikan di perairan Pulau Bohey Dulang, di sini, sejak semalam diteruskan, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Semporna, Komander Norrimi Hassan berkata, operasi yang ditamatkan jam 6 petang semalam disambung semula jam 7 pagi tadi.

Katanya, dua bot peronda Maritim Malaysia serta sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin (PPM) sudah diatur gerak ke lokasi sasaran bagi melaksanakan usaha-usaha pencarian awal.

“Maritim Malaysia mengaktifkan semula operasi carilamat, hari ini, selepas kedua-dua mangsa gagal ditemui dalam operasi yang dijalankan sebaik menerima laporan daripada rakan mangsa tengah hari semalam.

“Kedua-dua mangsa yang dilaporkan hilang adalah warga asing yang dikenali sebagai Wleson@Jukno, 30, dan Osman Palik, 28 tahun,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Norrimi berkata, laporan kehilangan kedua-dua mangsa dibuat rakan mereka selepas gagal menghubungi telefon bimbit salah seorang mangsa sekitar jam 12.40 tengah hari semalam.

Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengalu-alukan sebarang maklumat terutamanya daripada komuniti maritim berkaitan kes ini kepada Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|