Wanita maut, kereta dipandu terbabas

Wanita maut, kereta dipandu terbabas

Tuaran: Seorang wanita maut selepas tersepit di dalam kenderaan dipandunya yang terbabas dalam kejadian di Kampung Taginambur, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam itu, mangsa berusia 36 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 10 malam.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati masih tersepit di dalam kereta Perodua Kembara dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Pasukan operasi terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.20 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|