Labuan: Persatuan Penyelidikan, Inovasi, dan Kreativiti Labuan (LaRIS) buat julung kali menganjurkan Perhimpunan Hakim Inovasi Antarabangsa Peringkat Kebangsaan, di sini, Sabtu lalu.
Program mendapat sokongan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan dan Perbadanan Labuan itu dihadiri seramai 22 hakim dari Labuan, Sabah, Sarawak, Perak dan Pahang.
Pengerusi LaRIS, Dr Hyginus Lester Junior Lee berkata pembentang disyaratkan mempunyai pengalaman berkhidmat sebagai hakim dalam pertandingan inovasi peringkat antarabangsa.
Jelasnya, mereka perlu berkongsi pengalaman dan mengupas isu-isu dalam penilaian inovasi, antaranya nilai komersial, keberkesanan kos, reka cipta, inovasi dan kreativiti, efisiensi, kebolehlaksanaan dan keaslian produk.
Pembentangan pertama dimulakan Hyginus Lester bertajuk ‘Inovasi dan Peniruan Kreatif’.
Pegawai SISC+ Sains Sosial Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Suriani Alland Rice Oxley pula berkongsi mengenai borang penilaian pertandingan inovasi.
Sementara itu, pembentang dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tawau, Richeal Phil Thien Kim How membentangkan ‘Best Award vs Gold Award vs Silver/Bronze Award’, manakala Samih Kukung dari IPG Kampus Keningau membentangkan tajuk ‘Towards Global Innovative Educators’.
Pensyarah Kolej Matrikulasi Pahang, Dr Asmawati Mohamad Ali pula mengupas tajuk ‘Penyelidikan, Inovasi, dan KIK’, manakala Dr Usang anak Ngrambang dari Pejabat Pendidikan Daerah Limbang berkongsi mengenai Kreativiti Dan Inovasi Peserta Kolokium.
Perbadanan Labuan turut menyampaikan slot Kenali Labuan yang disampaikan oleh Mohamad Razwan Abd Halim dari Jabatan Pelancongan, Kebudayaan, dan Kesenian.
Pembentangan terbaik dimenangi oleh Samih Kukung (Hadiah Emas), Hyginus Lester (Hadiah Perak) dan Richeal (Hadiah Gangsa) manakala Hadiah People’s Choice untuk pembentangan popular turut dirangkul Richeal.
Turut hadir pada program itu ialah Ketua Penolong Pengarah Unit Bahasa, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Amiah Bua dan Penolong Pengarah Sektor Perancangan, JPN Labuan, Faridah Amit.
Dalam pada itu, Hyginus Lester yang juga Pegawai SISC+ menyatakan bahawa program itu menghimpun hakim inovasi dari seluruh negara untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam penilaian inovasi peringkat antarabangsa, membincangkan isu dalam penilaian reka bentuk dan ciptaan produk, mensyorkan prinsip inovasi yang berkualiti, dan mempromosi penghasilan inovasi yang efisien dan lestari.
-Deasoka