Tambah baik Program Jualan Murah Keluarga Malaysia

Tambah baik Program Jualan Murah Keluarga Malaysia

Kota Kinabalu: Program Jualan Murah Keluarga Malaysia masih perlu ditambah baik termasuk tambahan premis untuk melaksanakan program itu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa berkata, dari segi jumlah premis yang melakukan program itu setakat ini hanya antara 50 hingga 60 peratus.

“Kita telah berikan panduan menjelang 15 September ini kita mahu di semua 639 tempat dan 20 kampus perlu dilaksanakan.

“Kita beri sedikit kelonggaran kalau tidak secara tiap minggu, dua minggu sekali boleh diadakan sama ada satu hari atau dua hari tiap-tiap minggu, yang penting di semua kawasan DUN ada satu kedai,” katanya ketika meninjau Program Jualan Murah Keluarga Malaysia di Pasaraya Bataras, Sembulan, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, hebahan juga perlu dilakukan bagi memastikan orang ramai tahu mengenai maklumat seperti diskaun yang diberikan menerusi jualan murah ini.

“Sebab lain tempat, lain barangan yang diberikan diskaun. Diskaun 20 peratus di sesetengah tempat kita benarkan untuk pilih sendiri, apa yang popular, yang lazimnya diperlukan pembeli. Tidak terhad kepada ayam atau beras saja kerana ada 28 barang diberikan diskaun.

“Mungkin kita boleh tingkatkan lagi pemberitahuan bila jualan murah dilakukan, apa barang yang dijual dan diskaun apa yang diberikan serta dipamerkan lebih jelas lagi,” katanya.

Beliau dalam pada itu memaklumkan bahawa Jualan Murah Keluarga Malaysia itu diadakan di setiap DUN dengan perbelanjaan RM80 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|