Lelaki OKU maut dilanggar ketika melintas

Lelaki OKU maut dilanggar ketika melintas

Papar: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) meninggal dunia dilanggar sebuah kereta ketika melintas jalan di Kilometer 14 Jalan Lama Papar – Kota Kinabalu, laluan Pan Borneo, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 39 tahun dari Benoni menuju pulang ke rumahnya di Kampung Gana, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah.

Kereta Perodua Kancil yang parkir di stesen minyak di Kimanis. Pix Ihsan IPD Papar

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Kamaruddin Ambo Sakka berkata, siasatan awal mendapati kereta Perodua Kancil dipandu seorang lelaki berusia 40 tahun itu dari arah Penampang menuju ke Beaufort.

Katanya, pemandu kereta itu yang memandu di lorong kanan dalam keadaan hujan, tiba-tiba merempuh mangsa yang sedang melintas jalan.

“Akibat daripada itu, mangsa pemegang Kad OKU disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Pembantu Perubatan Hospital Papar.

“Mangsa dikatakan dari Benoni menuju pulang ke rumahnya di Kampung Gana dengan berjalan kaki,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamaruddin berkata, ketika pihak polis tiba di lokasi kejadian, pemandu Perodua Kancil tidak berada di lokasi berkenaan.

“Hasil siasatan selepas kemalangan berlaku, pemandu Perodua Kancil terbabit meneruskan perjalanannya sehingga ke stesen minyak di Kimanis sejauh 20.6 kilometer dari lokasi kemalangan.

“Pemandu terbabit berbuat demikian kerana tidak mengetahui apa yang dilanggar dan berpatah balik ke lokasi kejadian dengan kenderaan lain. Selepas itu pemandu terbabit datang ke balai polis untuk serah diri,” katanya.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Papar untuk dibedah siasat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|