Bomba selamat bayi terkunci dalam kenderaan

Bomba selamat bayi terkunci dalam kenderaan

Kota Kinabalu: Seorang bayi berusia 15 bulan diselamatkan pasukan bomba selepas terkunci di dalam kenderaan di Universiti Apartment 1, Jalan Sulaman, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, bayi lelaki terbabit dipercayai terperangkap di dalam kereta Proton Iriz itu selepas pintu kenderaan terkunci secara automatik.

Pasukan bomba menyelamatkan bayi lelaki yang terperangkap dalam kereta.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu pada 1.02 petang.

Katanya, seramai 10 anggota termasuk pegawai bersama jentera dan EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, bayi lelaki itu didapati masih berada di dalam kenderaan yang terkunci berkenaan.

“Pasukan bomba kemudiannya bertindak membuka pintu kenderaan dan mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bayi terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan terus diserahkan kepada keluarganya.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.42 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|