Tuaran: Penduduk dari Kampung Wasai Baru, Kiulu, di sini, merayu kepada kerajaan supaya menaik taraf segera jalan bukit menuju ke kampung itu.
Wakil penduduk, Jimy Gohon berkata, penduduk kampung pada bulan ini sudah melakukan tiga kali kerja gotong royong untuk membaiki bahagian jalan bukit yang rosak itu.
“Jalan yang rosak tidak sampai 100 meter pun dan kami terpaksa melakukan gotong royong untuk membaikinya terutama selepas hujan lebat.
“Memang benar, sebelum ini ada kontraktor yang menaiktaraf kepada jalan konkrit tetapi hanya beberapa meter saja dan malangnya bahagian jalan yang diperbaiki hanya di kawasan yang agak rata.
“Apa yang penduduk kampung harapkan ialah kawasan yang agak curam (otidong) yang sepatutnya dinaik taraf bagi memudahkan orang kampung berulang alik,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jimy bersyukur kerana penduduk kampung bersatu hati dan sanggup meluangkan masa untuk bergotong royong membaiki jalan tersebut.
“Tetapi mana tahan hampir setiap minggu gotong royong terutama selepas berlaku hujan lebat,” katanya.
Oleh itu, Jimy berharap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang prihatin masalah rakyat dapat melakukan sesuatu untuk menyegerakan kerja menaik taraf jalan yang diadukan itu.
-Deasoka