Keselamatan dan keselesaan pengguna keutamaan JKR

Keselamatan dan keselesaan pengguna keutamaan JKR

Sandakan: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah sentiasa memberi keutamaan terhadap aspek keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya sepanjang pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo di negeri ini.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Lebuhraya Pan Borneo, Mohd Shamsul Nizam berkata, pelbagai kempen dan inisiatif kesedaran keselamatan turut dilaksanakan bagi memastikan pengguna mengamalkan pemanduan selamat.

Mengibar bendera bagi menyemarakan semangat patriotik semepna Bulan Kebangsaan.

Katanya pihak JKR terus berkerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam menitikberatkan kesedaran keselamatan itu, antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) dan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) serta pihak pelaksana projek bagi memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

“Kempen kali ini berlangsung selama sebulan di Jajaran Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah di Pakej Kerja 27, menaik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Sandakan Batu 32.

“Kempen yang dijalankan di bahagian timur Sabah ini memberi tumpuan kepada pengguna jalan raya yang melalui Jalan Kota Kinabalu – Sandakan khasnya kepada keluarga yang dalam perjalanan balik bercuti sempena cuti sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya dan Mengibar Bendera sempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang dilaksanakan bersama JKR di bawah Sektor Lebuhraya Pan Borneo bersama Pihak Perunding Pengurusan Projek (PMC) dan Kumpulan PETRONAS, di sini.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPJ Sabah, Johariah Hassan, Inspektor Rodi Anak Wong dari PDRM; Pengurus Operasi Jualan Runcit dan Operasi PETRONAS, Mohd Muhidin Asfar dan Pengarah Projek Mohd Fadzil dari Konsultan Pengurusan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Mohd Shamsul berkata kempen itu diadakan secara berperingkat dengan memberi tumpuan kepada tiga daerah utama iaitu Kota Kinabalu, Papar dan Sandakan memandangkan pembinaan projek Pan Borneo giat dijalankan di daerah terbabit.

Katanya, dalam usaha menitikberatkan aspek keselamatan dan pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah, kempen itu juga secara langsung bertujuan untuk menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pengguna jalan raya.

“Usaha itu termasuklah melalui hebahan mesej kenegaran dan menggalakan orang awam mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri sempena bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia tahun ini.

“Kita juga mengedarkan risalah keselamatan, tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri serta beg cenderahati sepanjang kempen di adakan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|