Wanita maut disyaki akibat serangan anjing, bukan dibunuh

Wanita maut disyaki akibat serangan anjing, bukan dibunuh

Semporna: Seorang wanita yang ditemui mati di simpang Kampung Batu, di sini, bukan mangsa bunuh sebaliknya hanya serangan haiwan liar.

Mayat wanita tempatan berusia 29 tahun terbabit dipercayai meninggal dunia akibat pendarahan banyak ekoran kecederaan parah digigit anjing liar.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, mayat wanita terbabit ditemui kira-kira jam 8 pagi, Ahad lalu, hasil maklumat orang awam.

Katanya, hasil siasagan mendapati, mayat wanita terbabit dalam keadaan terbaring meniarap dengan banyak kesan gigitan haiwan.

“Pemeriksaan di badan mangsa mendapati banyak kesan gigitan anjing liar di belakang badan, paha, lengan dan kepala.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan, pakar perubatan forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) mengesahkan sebab kematian adalah pendarahan yang banyak dan tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Farhan berkata, siasatan bagaimanapun masih diteruskan mengikut kes kematian mengejut (SDR).

Sehubungan itu, Mohd Farhan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.

Katanya, maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Balai Polis Semporna, Inspektor Mustapha Abdul Majid di talian 089-782020.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|