Kem Ukur 2022 bentuk bakal graduan kejuruteraan awam berdaya saing

Kem Ukur 2022 bentuk bakal graduan kejuruteraan awam berdaya saing

Ranau: seramai 63 orang pelajar program Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan (FKJ) Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyertai Kem Ukur 2022 yang diadakan di Kundasang, di sini, baru-baru ini.

Kem Ukur 2022 adalah sebagai suatu medium efektif untuk mempraktikkan ilmu pengetahuan yang dipelajari penuntut semasa kuliah.

Pengarah Kem Ukur, Sr Ts Dr Asmawan Mohd Sarman berkata, program itu bertujuan memberikan gambaran awal yang lebih jelas tentang situasi yang akan dihadapi dalam industri kelak.

“Pemilihan Kundasang sebagai lokasi program adalah sangat bersesuaian kerana kawasan ini mempunyai rupa bentuk muka bumi yang pelbagai dan dapat memberikan pendedahan kepada pelajar tentang kaedah Ukur Kejuruteraan di lapangan yang sebenar.

“Program ini juga dapat melahirkan bakal jurutera serba boleh dan berkeyakinan untuk memenuhi keperluan semasa industri,” katanya pada program itu.

Sementara itu, peserta Kem Ukur 2022, Ruzaithy Azhnie Justi turut berkongsi bahawa pengisian program ini memberikan banyak manfaat dan pengalaman berharga kepada pelajar Kejuruteraan Awam.

“Peluang aplikasi ilmu Ukur Kejuruteraan secara amali di lapangan merupakan satu kelebihan kepada kami agar lebih bersedia sebelum melangkah masuk ke alam pekerjaan.

“Kami juga mendapat pendedahan kepada perisian ukur untuk menganalisis data secara digital,” katanya.

Katanya lagi, program itu turut menguji kemahiran seperti pemikiran kritikal dan kebolehan bekerja dalam kumpulan.

“Ia secara tidak langsung untuk mengatasi segala cabaran dan halangan yang dihadapi semasa menyelesaikan tugasan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program itu dapat diteruskan lagi pada sesi akan datang untuk meningkatkan kadar kebolehpasaran bakal graduan FKJ UMS.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|