Projek naik taraf kemudahan bakal ubah ‘wajah’ Lahad Datu

Projek naik taraf kemudahan bakal ubah ‘wajah’ Lahad Datu

Lahad Datu: Beberapa cadangan projek untuk menaik taraf kemudahan termasuk lapangan terbang, hospital dan pelabuhan bakal mengubah ‘wajah’ daerah ini.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Datuk Japlin Akim berkata, tiba masanya lapangan terbang diperbesarkan bagi membolehkan pelancong luar datang terus ke daerah itu sekali gus meningkatkan lagi sektor pelancongan yang ada.

Katanya, Lahad Datu mempunyai pelbagai tarikan tersendiri dan jika mempunyai lapangan terbang yang lebih besar akan merancakkan lagi sektor pelancongan selain kemudahan kepada penduduk setempat.

“Selain itu, tiba masanya Klinik Kesihatan Lahad Datu dinaik taraf untuk meningkatkan lagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Naik taraf klinik kesihatan kepada hospital ini akan mempunyai doktor pakar tersendiri dan tidak perlulah penduduk Lahad Datu ke daerah lain untuk mendapatkan rawatan pakar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Sangom Maglami-Lami anjuran Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Cawangan Lahad Datu, di sini, semalam.

Japlin berkata, Majlis Daerah Lahad Datu juga sewajarnya dinaik taraf kepada majlis perbandaran bagi membolehkan daerah itu menikmati kemudahan pembangunan yang lebih baik berbanding sekarang ini.

Malah katanya, pelabuhan di Lahad Datu juga dicadang dinaik taraf ke peringkat antarabangsa kerana keadaan geografi yang sesuai, malah lebih baik berbanding Pelabuhan Kota KInabalu.

“Lokasi dan keadaan laut di Lahad Datu lebih dalam malah lebih dalam berbanding Kota Kinabalu sekali gus memudahkan kapal-kapal besar singgah.

“Oleh itu, adalah wajar pelabuhan di sini dinaik taraf dan saya percaya jika dilaksanakan kelak akan memajukan lagi daerah Lahad Datu,” katanya.

Sementara itu, bercakap mengenai perkembangan politik , Japlin berkata, kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini semakin kuat dan menerima sokongan baik daripada rakyat.

“Gabungan lima parti kini semakin kukuh dan saya lihat sokongan rakyat juga semakin kuat. Di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sekarang, kerajaan kita semakin stabil dan kuat, ” katanya.

Japlin turut menyeru semua ahli Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah supaya mengukuhkan perpaduan sesama sendiri kerana etnik Bajau sangat besar bukan sahaja di Sabah tetapi juga di rantau Asia Tenggara.

“Saya yakin jika kita bersatu padu, kita mampu jadi satu bangsa Bajau yang besar dan kuat kerana kita ini adalah satu etnik yang besar dan ada di rantau Asia Tenggara,” katanya.

Hadir sama Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah, Mizma Appehdullah yang juga Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|