Aktiviti perikanan semakin pulih – LKIM

Aktiviti perikanan semakin pulih – LKIM

Kota Kinabalu: Aktiviti perikanan di seluruh negara kini semakin pulih selepas kira-kira dua tahun terjejas akibat pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Khaironnesak Omar, berkata ketika ini kerajaan juga sudah membenarkan pengambilan kru asing bagi memenuhi keperluan tenaga kerja sektor perikanan.

“Keadaan aktiviti nelayan kini semakin pulih, kru asingpun dibenar diambil supaya bekalan (ikan) sentiasa ada bagi mengurangkan import.

“Ketika pandemik sebelum ini mereka tidak dibenarkan masuk,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), di sini, malam tadi.

Yang turut hadir ialah Pengerusi PENGASAH, Datuk Arsit Sedi; Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Datuk Mohamad Dolmat dan Pengarah LKIM Sabah, Jamil Abdullah.

Sementara itu, Khaironnesak berkata langkah LKIM melalui NEKMAT mengeluarkan produk QFish atau ikan segar sejuk beku berjaya menstabilkan harga ikan ketika musim tengkujuh selain memastikan bekalan sentiasa ada sepanjang musim.

“LKIM mengadakan produk QFish iaitu ikan disimpan waktu ada lambakan. Kita beli dan bekukan ikan, apabila tengkujuh harga ikan mahal, jadi stok ini dikeluarkan supaya harga sentiasa stabil,” katanya.

Beliau berkata produk berkenaan tertumpu kepada ikan yang biasa dimakan rakyat negara ini atau ‘ikan rakyat’ seperti cencaru yang dijual dengan harga RM10 sepaket.

Jelasnya, inisiatif itu bertujuan membantu rakyat dalam perbelanjaan harian mereka bagi memastikan semua lapisan rakyat, khususnya golongan B40 dapat menikmati bekalan protein dengan harga yang rendah.

Mengenai Mesyuarat Agung Tahunan PENGASAH Ke-25, beliau berkata aktiviti itu yang tidak dapat diadakan selama dua tahun akibat penularan Covid-19 dapat diadakan semula bagi membolehkan pemimpin nelayan berkumpul untuk membincangkan hal nelayan.

Pada mesyuarat agung kali ini, katanya pemilihan ahli lembaga pengarah turut diadakan oleh perwakilan dari Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) yang bergabung di bawah PENGASAH.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|