PENGASAH rancang usahasama dengan pelabur China

PENGASAH rancang usahasama dengan pelabur China

Kota Kinabalu: Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) merancang untuk mengadakan usahasama dengan pelabur dari China bagi meneroka perikanan laut dalam dengan menjadikan Sabah sebagai pusat operasi.

Pengerusinya, Datuk Arsit Sedi, berkata rancangan itu akan dilaksanakan jika ia mendapat sokongan perwakilan pada Mesyuarat Agung Tahunan Ke-25 persatuan berkenaan yang berlangsung di sini, hari ini.

Arsit (dua kiri) menerima replika cek zakat NEKMAT daripada Mohamad Dolmat.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengadakan mesyuarat berhubung perkara itu bersama Lembaga Pengarah PENGASAH bagi menjelaskan keperluan untuk membawa masuk pelaburan berkenaan ke Sabah.

“Saya bawa untuk kelulusan dalam mesyuarat agung dulu. Kita minta kelulusan mesyuarat, apabila lulus barulah kita angkat menjadi pelaburan yang dinamik,” katanya kepada pemberita pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Agung Pengasah Ke-25, di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Khaironnesak Omar; Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Datuk Mohamad Dolmat dan Pengarah LKIM Sabah, Jamil Abdullah.

Arsit berkata, menerusi pelaburan itu, PENGASAH tidak mengeluarkan sebarang dana, sebaliknya hanya menyediakan kemudahan yang diperlukan untuk pelabur dari China beroperasi di Sabah.

Katanya, menerusi kemudahan yang disediakan itu, PENGASAH akan meminta sedikit saham atau pegangan dalam pelaburan pihak terbabit.

“Tujuan kita adalah untuk meneroka khazanah laut yang banyak di Sabah, sebab negeri ini besar. Namun, setakat ini hanya 52 syarikat laut dalam beroperasi di Sabah dan daripada jumlah itu, 31 diusahakan kapal Vietnam, maknanya di Sabah ini kecil saja.

“Jadi kita bawa pelabur dari China tapi dengan syarat yang ketat iaitu mereka perlu menjaga juga kepentingan nelayan pesisir pantai dan pastikan ikan tidak pupus,” katanya.

Beliau berkata, kemasukan pelabur itu juga bakal mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat Sabah selain membantu PENGASAH dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK).

Jelasnya, menerusi pelaburan itu, operasi penangkapan ikan laut dalam tertumpu di kawasan laut antarabangsa, namun hasil tangkapan akan dibawa ke Sabah untuk diproses sebelum dieksport.

Katanya, ia secara tidak langsung dapat memberi hasil kepada negara.

Sementara itu, Khaironnesak menyifatkan rancangan PENGASAH untuk membawa masuk pelabur sebagai sesuatu yang baik sejajar usaha kerajaan dalam meningkatkan kemasukan pelaburan terus asing (FDI).

Bagaimanapun, katanya rancangan itu perlu mendapat kelulusan terlebih dahulu melalui Mesyuarat Agung PENGASAH sebelum boleh dilaksanakan.

Terdahulu, sempena majlis makan malam itu, NEKMAT menyerahkan zakat berjumlah RM61,327 kepada Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dan bantuan Covid-19 berjumlah RM35,000.

Turut diserahkan ialah dividen keuntungan bagi tahun 2021 berjumlah RM25,073.64.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|