15,166 PATI ditahan di depot seluruh negara

15,166 PATI ditahan di depot seluruh negara

Sandakan: Seramai 15,166 pendatang asing tanpa izin (PATI) kini ditahan di semua depot tahanan seluruh negara, termasuk 7,200 PATI di Sabah.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, PATI warga Indonesia adalah paling ramai ditahan ketika ini.

“Saya ingin maklumkan, pada hari ini terdapat 15,166 warga asing yang ditahan di depot-dapot imigresen di seluruh negara dan daripada jumlah itu seramai 7,200 ditahan di depot di Sabah sahaja.

“Seramai 7,200 itu, 6,000 adalah warga Filipina dan sepanjang tempoh ini bagi tahun 2022 statistik pengusiran di seluruh negara adalah berjumlah 22,448 orang dengan jumlah majoriti warga Indonesia seramai 12,071, Myanmar (2,781), Vietnam (1,652), Thailand (1,551), Bangladesh (7,073),” katanya pada sidang media di Pelabuhan Sandakan, hari ini.

Khairul Dzaimee berkata, pihaknya akan melaksanakan program pengusiran dengan lebih kerap selepas tertangguh disebabkan pandemik Covid-19 sebelum ini.

Bagaimanapun, katanya ia juga bergantung dengan proses pengeluaran pasport atau pas perjalanan PATI terbabit.

“Ia dikeluarkan kedutaan negara mereka dan kebiasaannya mengambil masa lebih tiga bulan,” jelasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|