PPM bongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi

PPM bongkar aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi

Kota Kinabalu: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Kota Kinabalu, berjaya melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi dalam serbuan di Jalan Simpur Kepayan, di sini, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira jam 9 malam itu, sebanyak 10,200 liter minyak diesel bersubsidi berjaya dirampas dan enam individu ditahan.

Lokasi serbuan yang disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel di Jalan Simpur Kepayan, Kota Kinabalu. Pix Ihsan PPM

Bertindak atas maklumat awam, pasukan operasi PPM melakukan intipan selama beberapa jam di lokasi.

Pasukan operasi kemudiannya mengesan terdapat pergerakan kenderaan keluar dan masuk dipercayai untuk menjalankan aktiviti pengumpulan minyak diesel bersubsidi.

Beberapa kenderaan termasuk lori tangki yang berisi muatan minyak diesel bersubsidi dirampas anggota PPM Wilayah Empat Sabah Kota Kinabalu. Pix Ihsan PPM

Serbuan kemudiannya dilancarkan dan berjaya menahan enam suspek lelaki berusia lingkungan 19 hingga 49 tahun.

Pasukan operasi turut berjaya merampas beberapa kenderaan yang berisi muatan minyak diesel bersubsidi antaranya lori tangki, van dan pacuan empat roda

Ketika pemeriksaan dilakukan, suspek gagal menunjukan sebarang dokumen kebenaran daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Difahamkan, modus operandi yang digunakan adalah dengan membeli minyak diesel di stesen minyak menggunakan kenderaan peribadi yang diubah suai dengan tangki tambahan.

Semua minyak berkenaan kemudiannya dikumpulkan ke dalam lori tangki sebelum diedarkan ke lokasi lain.

Nilai rampasan minyak diesel, kenderaan dan peralatan terlibat dianggarkan sebanyak RM670,780 berdasarkan harga pasaran semasa.

Semua tangkapan dan rampasan kemudiannya diserahkan kepada KPDNHEP untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan kes berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|