Masalah laluan Pan Borneo Sepanggar-Bulatan Berungis: Kita ada sediakan pusingan U – Bung Moktar

Masalah laluan Pan Borneo Sepanggar-Bulatan Berungis: Kita ada sediakan pusingan U – Bung Moktar

Kota Kinabalu: Kontraktor pembinaan Lebuhraya Pan Borneo ada menyediakan pusingan U secara sementara untuk kemudahan pengguna jalan raya di sepanjang jajaran Sepanggar-Bulatan Berungis yang sedang dalam pembinaan.

Menurut Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, tuduhan mengatakan kerajaan tidak menyediakan kemudahan tersebut adalah salah sama sekali dan boleh mengelirukan rakyat, selain menyukarkan kerja-kerja pembikinan lokasi dimaksudkan.

“Saya menerima aduan yang dibuat daripada pihak pembangkang di mana mereka mengatakan laluan pembinaan Pan Borneo di Sepanggar hingga ke Bulatan Berunggis, Tuaran tidak disediakan pusingan U.

“Sebenarnya, terdapat pusingan U secara sementara telah dibina di lokasi yang dimaksudkan dan tuduhan laluan sepanjang 12 kilometer tanpa pusingan U itu adalah salah dan tidak berasas.

“Mereka ini tidak faham dan cuba mengelirukan rakyat,” katanya yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dalam satu kenyataan medianya, pada hari ini.

Bung Moktar pada masa yang sama turut menasihatkan agar pengguna jalan raya dapat bersabar dalam tempoh pembinaan dan sentiasa mematuhi papan tanda amaran ketika memandu di kawasan pembinaan.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Penasihat Komuniti Cina Sepanggar semalam mendedahkan terdapat kesukaran pengguna lalu lintas untuk menggunakan laluan alternatif di lokasi sepanjang seksyen Sepanggar ke Bulatan Berunggis, Tuaran ekoran tidak mempunyai pusingan U.

Jelas kenyataan itu lagi, ketiadaan kemudahan terbabit sekali gus menyebabkan gangguan trafik yang teruk terutamanya pada waktu puncak dan meminta kerajaan berbuat sesuatu untuk menyelesaikan permasalahan berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|