Wanita alami kesejukan melampau dibawa turun dari Gunung Kinabalu

Wanita alami kesejukan melampau dibawa turun dari Gunung Kinabalu

Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kesejukan melampau dalam kejadian di kilometer 7.2, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.30 pagi itu, wanita berusia 24 tahun terbabit dilaporkan mengalami kesukaran dan perlu mendapatkan bantuan bagi membawanya turun dari puncak.

Mangsa berusia 24 tahun dibawa turun menggunakan kaedah Piggy Back Carry dari puncak ke Panalaban. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai termasuk Mosar dan malim gunung dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan Mosar terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke Panalaban menggunakan teknik ‘Piggy Back Carry’ oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke Panalaban, mangsa yang beransur pulih memilih untuk berjalan sendiri tanpa bantuan MosaR sehingga ke Timpohon Gate.

Katanya, mangsa tidak memerlukan bantuan EMRS atau ambulans dan selepas memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 3.10 petang,

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|