SOP imbas suhu akan dimansuh – Khairy Jamaluddin

SOP imbas suhu akan dimansuh – Khairy Jamaluddin

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) bersetuju untuk memansuhkan syarat wajib mengimbas suhu apabila memasuki sesuatu premis dan keperluan untuk menyediakan peralatan itu seperti ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) ketika ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata orang ramai hanya perlu merekodkan butiran diri dengan membuat imbasan menggunakan aplikasi MySejahtera apabila memasuki mana-mana premis.

Bagaimanapun, katanya pemansuhan SOP itu perlu dibuat dengan melakukan pindaan terlebih dahulu melalui Mesyuarat Kuartet Covid-19 sebelum dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“KKM bersetuju supaya kita keluarkan penggunaan wajib pengimbas suhu daripada SOP. Jadi, selepas dipinda nanti, premis tidak lagi diwajibkan ada pengimbas suhu, memadai hanya mengimbas MySejahtera,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata, langkah untuk tidak mewajibkan pengimbas suhu dibuat kerana KKM mendapati imbasan suhu tidak boleh mengekang penularan Covid-19.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah setiap individu yang tidak sihat dan bergejala perlu berada di rumah dan tidak keluar ke mana-mana.

Ketika ini semua premis wajib menyediakan alat mengimbas suhu, selain kod QR untuk imbasan MySejahtera dan memastikan setiap individu yang memasuki premis membuat membuat imbasan suhu serta kod QR atau menulis butiran dalam buku log yang disediakan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|