Kota Kinabalu: Sekurang-kurangnya 20 rumah musnah terbakar dalam kejadian di kawasan rumah setinggan berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Che Hwa, Kolombong, di sini, hari ini.
Kejadian jam 4 pagi itu bagaimanapun tidak membabitkan kehilangan nyawa namun terdapat seorang lelaki dilaporkan mengalami sesak nafas.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.10 pagi.
Katanya, sepasukan 28 anggota dan pegawai bersama tiga jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penampang dan Kota Kinabalu dikerahkan bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran didapati membabitkan rumah setinggan berkeluasan 5,574 meter persegi.
“Operasi pemadaman segera dijalankan bagi mengawal api daripada terus merebak ke sebahagian besar lagi rumah setinggan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, terdapat seorang mangsa terlibat dilaporkan mengalami sesak nafas diberikan rawatan awal oleh pasukan EMRS.
Katanya, mangsa kemudiannya dihantar ke hopital menggunakan jentera EMRS.
“Operasi berjaya dikawal pada jam 5.05 pagi dan usaha memadamkan api kebakaran masih sedang giat dijalankan.
“Sebarang perkembangan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.
-Deasoka