Wanita alami AMS, kaki terseliuh dibawa turun dari Gunung Kinabalu

Wanita alami AMS, kaki terseliuh dibawa turun dari Gunung Kinabalu

Ranau: Seorang pendaki Gunung Kinabalu terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami AMS (Accute Mountain Sickness) di Pondok Mempening, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, wanita terbabit turut dilaporkan sukar bergerak berikutan kecederaan kaki terseliuh dan perlu dibawa turun untuk mendapatkan rawatan.

Pasukan bomba yang mengangkat mangsa selepas mengalami AMS dan kaki terseliuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 24 anggota dan pegawai termasuk MOSAR dan malim gunung serta renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal bagi memastikan mangsa dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Penginapan BTN Kundasang.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.30 malam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|