UMNO Sabah terus menangi hati rakyat: Raime

UMNO Sabah terus menangi hati rakyat: Raime

Kota Kinabalu: UMNO Sabah terus berada di landasan tepat untuk memenangi hati rakyat di negeri ini.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi berkata, meskipun dilabel ‘hampir lumpuh’ selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), parti tersebut di Sabah terus mengorak langkah dan berjaya bangkit semula.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Raime Unggi

Ini terbukti dengan menjadi sebahagian daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah kepimpinan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah.

“Alhamdulillah, UMNO Sabah kini dan terus berada di landasan tepat memenangi hati rakyat dengan pelbagai pendekatan yang kita bawa dan kepimpinan mantap yang diketuai oleh Yang Berhormat Datuk Seri Bung Moktar.

“Selain itu, sikap ukhuwah di kalangan pemimpin dan akar umbi UMNO di Sabah turut menunjukkan kematangan kita menghadapi setiap onak duri serta ranjau politik yang kini serba dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusannya bersempena Hari Ulang Tahun UMNO Sabah ke -31, hari ini.

Sementara itu, mengulas mengenai ulang tahun UMNO yang sudah melebihi tiga dekad di negeri ini, Raime dalam pada itu mengajak semua pemimpin serta ahli untuk terus mendekati rakyat terutamanya mereka di kalangan anak-anak muda.

“Kalau melihat kepada keputusan Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN) di Sabah dahulu, UMNO Sabah dilihat dekat dengan pengundi-pengundi muda.

“Saya berharap, momentum ini dapat diteruskan dan kepada semua akar umbi mahupun pemimpin, marilah kita rapatkan saf untuk menguatkan parti keramat yang berjasa kepada negeri dan negara dengan mempamerkan nilai-nilai positif,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|