Covid-19 Sabah: Jangkitan sporadik penyumbang utama kes

Covid-19 Sabah: Jangkitan sporadik penyumbang utama kes

Kota Kinabalu: Jangkitan sporadik atau kes yang dikesan melalui saringan bergejala menjadi penyumbang utama kes baharu Covid-19 dengan 63.13 peratus daripada 5,007 kes yang direkodkan di Sabah hari ini dalam kategori berkenaan.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata, peratusan itu mewakili 3,161 kes dengan keseluruhannya sebanyak 21 daripada 27 daerah mencatat peratusan tinggi kes jangkitan sporadik.

“Sabah mencatat sebanyak 5,007 kes hari ini, penyusutan 352 kes berbanding semalam. Bagaimanapun, jumlah ini masih amat tinggi dan peratusan tinggi jangkitan sporadik (dalam komuniti) adalah satu petunjuk bahawa jumlah kes harian di Sabah akan kekal tinggi dalam masa terdekat.

“Hari ini 63.13 peratus kes baharu berpunca daripada jangkitan sporadik,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Masidi berkata, 99.58 peratus atau seramai 4,986 orang daripada 5,007 pesakit hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, lima orang dalam Kategori 3, diikuti 13 orang dalam Kategori 4 dan tiga orang lagi dalam Kategori 5.

Katanya, daripada 5,007 jangkitan baharu hari ini, sebanyak 606 kes melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum layak atau belum menerima vaksin dengan seramai 42 orang daripadanya adalah bayi di bawah umur satu tahun.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daerah Kota Kinabalu terus mencatat kes empat angka dengan sebanyak 1,265 kes lagi dicatatkan hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 12 daerah lagi mencatat kes tiga angka iaitu Penampang (719 kes), Tuaran (466 kes), Papar (398 kes), Tawau (355 kes), Sandakan (250 kes), Kota Belud (214 kes), Beaufort (185 kes), Putatan (167 kes), Keningau (161 kes), Kota Marudu (129 kes), Ranau (121 kes) dan Lahad Datu (113 kes).

Baki 14 lagi daerah, katanya mencatat kes dua angka.

Dalam pada itu, Masidi berkata dua kluster diisytiharkan tamat hari ini iaitu Kluster Kayul di Kuala Penyu (kluster komuniti) dan Kluster Pandan-Pandan di Putatan (kluster institusi pendidikan), menjadikan kluster yang masih aktif sebanyak 41 termasuk satu kluster baharu, hari ini.

“Satu kluster baharu institusi pendidikan diisytiharkan di Beluran hari ini iaitu Kluster Jalan Beluran Lama. Ia melibatkan pelajar Asrama SMK Beluran.

“Kes indeks adalah seorang pelajar lelaki, 18 tahun, warganegara dan dikesan melalui saringan bergejala pada 17 Februari. Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 34 kes.

“Secara keseluruhannya, jumlah kumulatif kluster ini ialah 35 kes positif setakat hari ini. Semua kes sudah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya. Kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 20 Februari 2022
Sabah 5,007 (5,359)

Kota Kinabalu 1,265 (1,362)
Penampang 719 (583)
Tuaran 466 (494)
Papar 398 (293)
Tawau 355 (243)
Sandakan 250 (207)
Kota Belud 214 (203)
Beaufort 185 (233)
Putatan 167 (457)
Keningau 161 (166)
Kota Marudu 129 (150)
Ranau 121 (147)
Lahad Datu 113 (244)
Kuala Penyu 62 (64)
Beluran 61 (75)
Tenom 60 (55)
Sipitang 50 (72)
Pitas 42 (53)
Telupid 31 (32)
Kunak 26 (38)
Kudat 26 (23)
Nabawan 21 (26)
Tambunan 19 (52)
Tongod 19 (19)
Semporna 18 (19)
Kinabatangan 17 (48)
Kalabakan 12 (1)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 19 Februari 2022

Kluster Baharu
Kluster Jalan Beluran Lama,
Beluran 35(+35)
(Kluster Institusi Pendidikan)

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|