Long Pasia dilanda banjir, 30 rumah dan sawah padi digenangi air

Long Pasia dilanda banjir, 30 rumah dan sawah padi digenangi air

Sipitang: Hujan berterusan sejak petang kelmarin sehingga awal pagi semalam menyebabkan beberapa kawasan dilanda banjir di Long Pasia, di sini, hari ini.

Difahamkan, akibat hujan berterusan itu juga menyebabkan ‏sebanyak 30 rumah penduduk kampung digenangi air selain padi yang baru dituai penduduk hanyut.

Keadaan banjir di Long Pasia, Sipitang. Pix Ihsan APM

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), hujan berterusan sejak jam 2 petang semalam sehingga jam 3 pagi tadi menyebabkan kenaikan paras air di Sungai Pasia.

“Selain itu berlaku pertembungan antara Sungai Pasia dan Sungai Padas, Tenom, menyebabkan air mulai naik di beberapa kawasan di Long Pasia.

Sawah padi digenangi air akibat banjir di Long Pasia, Sipitang. Pix Ihsan APM

“Sebanyak 30 rumah atau ketua isi rumah serta kawasan sawah padi milik penduduk dinaiki air bagaimanapun tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, penghantaran bakul makanan kepada penduduk yang terjejas dibuat hari ini ke Kampung Long Pasia.

“Penghantaran bantuan bakul makanan menggunakan pacuan empat roda kerana laluan Long Pasia-Maligan hanya boleh dilalui oleh kenderaan itu,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|