Buaya 150 kilogram ‘terdampar’ di parit ditangkap

Buaya 150 kilogram ‘terdampar’ di parit ditangkap

Papar: Seekor buaya seberat 150 kilogram berjaya ditangkap selepas ditemui terdampar di tepi parit di sebuah kawasan tapak pembinaan di Taman Resident Prima Kinarut, di sini, hari ini.

Kehadiran haiwan reptilia itu disedari oleh seorang penduduk yang kebetulan lalu di kawasan tapak pembinaan berkenaan, kira-kira jam 8 pagi.

Buaya yang berjaya ditangkap APM selepas ditemui di kawasan parit tapak pembinaan di Taman Resident Prima Kinarut, Papar.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu pada jam 8.15 pagi.

“Menurut laporan, pengadu memaklumkan sedang melalui kawasan tapak pembinaan taman berkenaan namun terlihat seekor buaya sedang terdampar di tepi parit pagar utama tapak pembinaan.

“Bimbang dengan keselamatan penduduk taman dan pekerja tapak pembinaan, pengadu kemudian menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan mendapati memang terdapat haiwan berkenaan di lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 9 pagi, operasi menangkap buaya segera dilakukan.

“Haiwan sepanjang empat meter dengan berat 150 kilogram itu berjaya ditangkap akhirnya,” katanya.

Katanya lagi, operasi ditamatkan pada 9.40 pagi sebaik buaya itu diserahkan kepada Unit Penyelamat Hidupan Liar (WRU).

-deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|