UMNO kekal relevan kerana formula membela rakyat jadi keutamaan – Bung Moktar

UMNO kekal relevan kerana formula membela rakyat jadi keutamaan – Bung Moktar

Kota Kinabalu: UMNO berjaya melalui pelbagai ujian sepanjang sejarah hayatnya yang berusia 75 tahun kerana berpegang kepada formula membela nasib rakyat, bukan berjuang untuk ahli parti semata-mata.

Perkara itu dinyatakan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam perutusannya sempena sambutan 31 tahun UMNO bertapak di negeri di Bawah Bayu esok.

Datuk Seri Bung Moktar Radin

Bung Moktar berkata dalam konteks Sabah banyak liku dan cabaran dilalui UMNO sebaik sahaja melebarkan sayapnya ke negeri ini dan saat yang paling menyedihkan selepas kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, ujian turut melanda UMNO Sabah ketika itu apabila tindakan beberapa pemimpinnya termasuk di peringkat bahagian meletakkan jawatan dan menyertai parti lain menyebabkan ahli UMNO berada dalam keadaan tidak menentu.

Namun, katanya ujian yang berlaku itu dilihat secara positif selain menjadikan UMNO lebih matang dalam menghadapi cabaran yang mendatang.

“Di ssebalik langkah mereka yang meninggalkan perjuangan UMNO, alhamdulillah, kita masih memiliki pemimpin dan ahli yang berprinsip dan setia kepada perjuangan parti.

“Ia menjadikan UMNO Sabah lebih matang, kukuh dan berpengalaman menghadapi cabaran yang sehingga kini tidak ada satu bahagianpun UMNO di Sabah dibubarkan,” katanya.

Beliau berkata, UMNO mampu bertahan kerana parti mementingkan bukan saja ahli malah rakyat jelata keseluruhannya yang menilai setiap gerak-geri, tindakan dan keputusan yang dilakukan pemimpin.

Bung Moktar yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, ,bagaimanapun mengakui perubahan zaman membawa bentuk cabaran baharu kepada parti hingga menguji kaedah yang digunakan parti untuk mendepaninya.

Beliau menyebut mengenai kepantasan penyebaran fitnah yang dahsyat melalui media sosial dan Internet yang secara tidak langsung membawa persepsi buruk walaupun realiti adalah sebaliknya.

“Namun kesedaran dan kefahaman rakyat kini lebih jelas bahawa segala proganda, fitnah yang dilemparkan terutamanya di media sosial sebenarnya hanya proganda pembangkang.

“Keyakinan rakyat kepada UMNO dan BN kembali kukuh setelah kita melihat pencapaian parti dalam beberapa siri PRK, dan terkini PRN Melaka dan selepas ini kita optimis PRN Johor UMNO BN akan mencipta satu kejayaan baharu,” katanya.

Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan menambah apa juga perubahan persekitaran, UMNO mesti mampu menyesuaikan dirinya agar kekal menjadi parti yang relevan pada masa kini dan akan datang

“Rakyat yang akhirnya akan menentukan masa depan UMNO memandangkan UMNO sebagai sebuah parti yang mengamalkan sistem demokrasi,” katanya.

Beliau berkata, meskipun banyak kebaikan yang dilakukan oleh UMNO dan BN namun cabaran ketika ini amat berbeza kerana rakyat sedang berdepan krisis kesihatan dan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

“Rakyat mahu kerajaan yang dapat membantu mereka yang kini hidup terhimpit serta menyelesaikan isu yang tertunggak,” katanya.

Menurut Bung Moktar, UMNO tidak boleh bersandar semata-mata kepada sejarah tetapi mesti menunjukkan bahawa sebagai sebuah parti yang lahir 75 tahun lalu dan 31 tahun bertapak di Sabah, ia perlu tetap relevan dan menjadi parti pilihan rakyat.

“Kita mesti menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran kerana sehebat manapun kita, jika tidak mahu melakukan perubahan, kedudukan parti ini akan tergugat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|