Mangsa ketiga dibantu MOSAR

Mangsa ketiga dibantu MOSAR

Ranau: Seorang lelaki menjadi mangsa ketiga dalam tempoh 24 jam yang terpaksa diselamatkan Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) selepas mengalami kecederaan otot dan sendi di kawasan tangga Panalaban, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, mangsa dikatakan sukar untuk bergerak dan perlu mendapatkan bantuan untuk membawanya turun bagi mendapatkan rawatan.

Pasukan penyelamat mengangkat mangsa turun ke Timpohon Gate.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.30 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai JBPM termasuk MOSAR dan malim gunung serta renjer Taman Taman Sabah (TTS) dikerah ke lokasi kejadian.

Pasukan penyelamat berehat seketika sebelum meneruskan operasi membawa turun mangsa ke Timpohon Gate.

“Sebaik tiba di lokasi mangsa ditemui, pasukan MOSAR terus memberikan rawatan awal dengan memasang ‘Arm Tape’ pada otot yang cedera bagi memastikan mangsa berada dalam keadaan stabil dan selamat.

“Mangsa seterusnya dibawa turun ke ‘Timpohon Gate’ dengan menggunakan Robinson stretcher oleh pasukan penyelamat,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya sampai ke kaki gunung, mangsa diserahkan kepada pasukan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) sebelum dihantar ke Penginapan BTN Kundasang.

Katanya, pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 5.16 petang.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|