Covid-19 Sabah: Jangkitan terhadap kanak-kanak tinggi

Covid-19 Sabah: Jangkitan terhadap kanak-kanak tinggi

Kota Kinabalu: Seramai 673 kanak-kanak berumur bawah 11 tahun yang belum dan tidak layak menerima vaksin adalah antara 5,395 individu dijangkiti Covid-19 di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jumlah itu menunjukkan kadar jangkitan yang tinggi membabitkan kanak-kanak di negeri ini.

“Jumlah kanak-kanak berumur di bawah 11 tahun yang dijangkiti Covid-19 kekal tinggi iaitu 673 orang dengan 283 orang daripada mereka berumur di bawah lima tahun yang belum layak diberi vaksin.

“Seramai 390 orang lagi berumur antara lima hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin walaupun sudah layak memperolehinya.

“Kedua-dua kumpulan ini mewakili 12.56 peratus daripada jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sabah hari ini. Amatlah disarankan agar ibu bapa membawa anak-anak yang sudah layak divaksin untuk memperolehinya bagi mengurangkan risiko jangkitan atau kesan jangkitan yang lebih serius,” katanya dalam kenyataan, petang ini.

Sementara itu, Sabah hari ini kekal mencatat kes baharu Covid-19 melebihi 5,000 dengan 5,359 kes, susut 206 kes daripada 5,565 kes yang dilaporkan semalam.

Bagaimanapun, Masidi berkata 5,341 atau 99.66 peratus dariapda keseluruhan kes baharu hari ini berada dalam Kategori 1 dan 2, manakala sembilan kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan lima kes lagi dalam Kategori 5.

“Secara keseluruhan jumlah kes baharu di semua daerah di Sabah adalah bercampur-campur, ada daerah yang mencatatkan penurunan dan tidak kurang pula daerah yang mencatat pertambahan kes.

“Dengan peratusan jumlah kes jangkitan sporadik (dalam komuniti) yang masih tinggi iaitu hampir 61.4 peratus hari ini, agak mudah untuk meramalkan bahawa jumlah kes harian dalam masa terdekat akan kekal tinggi,” katanya.

Beliau berkata, Kota Kinabalu kekal mencatat jumlah kes harian tertinggi di Sabah dengan 1,362 kes, diikuti Penampang (583), Tuaran (494), Putatan (457), Papar (293), Lahad Datu (244), Tawau (243), Beaufort (233), Sandakan (207), Kota Belud (203), Keningau (166), Kota Marudu (150) dan Ranau (147).

Katanya, daerah yang mencatat jumlah kes harian yang tinggi juga sinonim dengan peratusan jangkitan sporadik yang tinggi iaitu 62.5 peratus di Kota Kinabalu, diikuti Penampang (64.1 peratus), Tuaran (56.3 peratus), Putatan (75.5 peratus), Papar (56 peratus), Lahad Datu (62.3 peratus), Tawau (73.6 peratus), Beaufort (68.2 peratus), Sandakan (83 peratus) dan Kota Belud (60.6 peratus).

“Kita boleh simpulkan bahawa jumlah kes harian yang tinggi setiap hari berpunca daripada jangkitan dalam komuniti yang sukar dibendung lantaran tidak diketahui punca dan tempat jangkitan berlaku.

“Cara terbaik untuk mengelak terdedah kepada jangkitan ialah mengelakkan berada dalam kumpulan orang yang ramai seperti tempat awam yang penuh sesak. Patuhi semua SOP dan nasihat KKM,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 19 Februari 2022
Sabah 5,359 (5,565)

Kota Kinabalu 1,362 (1,395)
Penampang 583 (606)
Tuaran 494 (320)
Putatan 457 (188)
Papar 293 (337)
Lahad Datu 244 (398)
Tawau 243 (430)
Beaufort 233 (158)
Sandakan 207 (289)
Kota Belud 203 (216)
Keningau 166 (215)
Kota Marudu 150 (164)
Ranau 147 (104)
Beluran 75 (43)
Sipitang 72 (72)
Kuala Penyu 64 (85)
Tenom 55 (74)
Pitas 53 (91)
Tambunan 52 (85)
Kinabatangan 48 (39)
Kunak 38 (49)
Telupid 32 (27)
Nabawan 26 (52)
Kudat 23 (26)
Semporna 19 (34)
Tongod 19 (54)
Kalabakan 1 (14)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes 18 Februari 2022

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|