Kota Kinabalu: Selepas kehilangan kediaman akibat musnah dalam kebakaran pada April tahun lalu, seorang veteran tentera di Kampung Balabakan, Jalan Pekan Nabalu, Tamparuli semalam menerima rumah baharu menerusi Program Jiwa Murni (PJM) Tentera Darat.
Penyerahan kunci rumah kepada veteran berkenaan, Staf Sarjan John Somudin (Bersara) disempurnakan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad.
Mardzuki berkata, rumah baharu itu dibina selepas rumah pesara tentera itu musnah dalam kebakaran pada 12 April tahun lalu disebabkan litar pintas.
Katanya, rumah konkrit berkeluasan 900 kaki persegi itu dilengkapi empat bilik tidur dan dua bilik air dibina dengan kos keseluruhan RM62,000.
“Peruntukan berkenaan adalah hasil sumbangan daripada Panglima Tentera Darat, kerajaan negeri Sabah, wakil rakyat tempatan dan Tabung Kor Jurutera Letrik dan Jentera Diraja,” katanya.
Hadir sama Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Dzulkafli Mustaffa; Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid; Wakil Pejabat Pegawai Daerah Tuaran dan Ketua Kampung Balabakan.
Mardzuki berkata pembinaan rumah berkenaan mengambil masa 80 hari bermula pada 25 Ogos tahun lalu dan siap sepenuhnya pada 13 November tahun lalu.
Tambahnya, seramai 20 anggota Tentera Darat terbabit dalam menyiapkan kediaman veteran berkenaan.
Katanya, anggota veteran yang berumur 42 tahun itu sebelum ini berkhidmat dalam Angkatan Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 21 tahun dan bersara pada 4 Februari lalu.
“Pembinaan rumah PJM ini membantu meringankan beban yang ditanggung beliau dan ini sejajar dengan Tonggak Ketiga Panglima Tentera Darat Ke-28 iaitu Pelestarian Kesejahteraan Warga.
“Program sebegini turut memperkasa peningkatan hubungan tentera dengan awam khususnya dengan Kerajaan Negeri Sabah yang diterjemahkan menerusi Tonggak Ke-5.
Katanya, ia sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat terhadap kredibiliti dan kesiagaan TDM dalam membantu pihak berkuasa awam dan masyarakat.
-Deasoka