SLDB wujudkan Pelan Pembangunan Strategik lima tahun

SLDB wujudkan Pelan Pembangunan Strategik lima tahun

Kota Kinabalu: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB), hari ini melancarkan Pelan Perancangan Pembangunan lima tahun 2022-2026 untuk membangun dan memantapkan lagi agensi berkenaan.

Pengurus Besar SLDB, Syaheddrul R Joddari berkata, ia adalah pelan yang diilhamkan Pengerusi SLDB, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin.

Syaheddrul bersama Abdul Ghani berbincang mengenai strategi pembangunan SLDB pada Jerayawara Hebahan Pelan Strategik SLDB Siri 1 di Kota Kinabalu.

Katanya, ia akan diterjemahkan untuk dipraktikkan oleh barisan pengurusan tertinggi selepas mengambil kira kepentingan semua pihak yang terlibat.

“Setakat ini, kita mensasarkan sebanyak 13 inisiatif sebagai komitmen terhadap pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang juga merupakan Key Performance Indicator (KPI) yang perlu direalisasikan oleh SLDB.

“Penyertaan SLDB dalam pelan SMJ merupakan satu iltizam kita untuk bersama Kerajaan Negeri membangunkan negeri Sabah tercinta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Jerayawara Hebahan Pelan Strategik SLDB Siri 1 di Hotel Raia, Tabung Haji, di sini, hari ini.

Menurutnya, selari dengan hala tuju SMJ, ia adalah usaha murni semua warga kerja SLDB yang juga merupakan penyelesaian dalam mendepani apa juga cabaran demi memastikan kelangsungan masa hadapan SLDB.

Katanya, sebanyak empat teras utama, 15 strategi, 68 program dan 82 sasaran telah ditetapkan bagi membolehkan SLDB bekerja secara fokus dan bersasar.

“Ia demi mencapai matlamat sebagai agensi pemangkin dan pelaksana pembangunan tanah luar bandar terulung berasaskan industri makanan di negeri Sabah.

“Saya menyeru kepada semua warga kerja SLDB untuk bersiap sedia berdepan dengan norma kerja baharu dan mengamalkan budaya kerja yang berintegriti tinggi.

“Yakinlah dengan kemampuan kita dan memberikan komitmen yang tidak berbelah bagi dalam menjayakan pelan pembangunan ini,” katanya.

Syaheddrul berkata, semua tenaga kerja perlu memainkan peranan dan fungsi serta menunaikan amanah dan kepercayaan Kerajaan serta rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|