Velvet tampil dengan album sulung ‘Reality’

Velvet tampil dengan album sulung ‘Reality’

Kota Kinabalu: Selepas 16 tahun bergelar anak seni, Velvet Aduk bakal tampil dengan album sulungnya, Reality yang bakal dilancarkan Ogos depan.

Penyanyi berusia 35 tahun itu memaklumkan album Reality adalah kompilasi lagu yang ditulis, diterbit dan disusunnya sendiri.

Katanya, kompilasi lagu-lagu dalam album Reality memaparkan keperibadian dan kehidupannya dengan setiap lagu mempunyai cerita dan kisahnya tersendiri.

“Bukan seperti apa yang kamu biasa lihat dalam keluaran album artis lain, Reality merupakan kompilasi lagu dan hasil karya yang sudah saya hasilkan dan terbit dari 2019 sehinggalah 2022.

“Dalam album Reality ini, terdapat tiga lagu yang dikeluarkan pada tahun ini iaitu Mama, yang telah dikeluarkan pada Januari lalu dan yang akan datang ialah ‘Mungkin Ini Bukan Sayang?’ (17 Jun 2022) dan Celaru (15 Julai 2022),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Velvet berkata, album Reality menjadi tema yang dipilihnya sendiri kerana proses pembikinan album ini sangat sukar dan memakan masa yang begitu lama.

“Saya melihat diri saya sebagai seorang artis indie dan sebagai seorang artis indie, satu-satunya perkara yang saya ada ialah semangat dan sokongan daripada setiap individu yang mendengar lagu saya.

“Bagi saya, saya hanya mahu buat karya yang baik, dan sering kali keterbatasan membuatkan saya hampir menyerah untuk melakukan apa yang saya suka.

“Jadi album Reality pada dasarnya adalah perjalanan saya sebagai artis indie di Sabah, yang masih lagi meneruskan aliran muzik ini walaupun saya memakan masa yang lama sehingga bertahun-tahun untuk mengeluarkan sebuah album,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut teruja dengan ‘kehadiran’ album pertama itu yang akhirnya bertemu dengan pendengar setia tidak lama lagi.

“Rezeki tidak salah alamat dan saya berterima kasih kepada Bornaya Records kerana banyak membantu dalam merealisasikan pembikinan album ini.

“Bornaya Records ialah sebuah label kepunyaan Estranged, yang juga merupakan sebuah band tanah air yang tidak asing lagi dan mereka juga telah banyak menghasilkan karya tersendiri,” katanya.

Katanya lagi, kerjasama daripada pelbagai pihak sangat perlu dalam menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

“Saya amat bertuah kerana sekumpulan pemuzik berbakat yang merupakan kawan-kawan rapat saya sangat memahami, mereka sentiasa membantu dan menyokong perjuangan seni saya.

“Saya berniat untuk menghasilkan lebih banyak lagu di masa akan datang kerana muzik adalah cara ekspresi yang amat saya minati,” katanya.

Velvet berkata, album itu merupakan simbol usahanya bertahun lama yang penuh dengan pelbagai cabaran sebagai anak seni.

“Album pertama ini akan menjadi pencetus kepada lebih banyak karya seni pada masa akan datang dan diharap untuk menghasilkan lebih banyak lagu pada tahun 2023 dan seterusnya,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|