Sabah mahu cungkil lebih ramai bakat baharu sukan

Sabah mahu cungkil lebih ramai bakat baharu sukan

Kota Kinabalu: Kementerian Belia dan Sukan Sabah diminta untuk mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan bagi memastikan ada atlet pelapis Sabah pada masa akan datang.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia boleh dilakukan dengan mengadakan pelbagai program atau pertandingan sukan untuk mencari bakat baharu di seluruh negeri.

Hajiji melihat pingat emas yang dimenangi atlet memanah, Fatin Nur Fatehah Mat Salleh pada Majlis Meraikan Pencapaian Altet Sabah Sempena Temasya Sukan SEA ke-31, Hanoi 2021 di Menara Kinabalu.

“Kerajaan negeri komited dalam memajukan sukan di negeri ini kerana ramai atlet muda kita yang bersaing hingga ke peringkat antarabangsa dan pernah mengharumkan nama negara.

“Ini termasuklah pelayar negara, Rufina Tan, pemain golf negara, Ben Leong dan terkini dua perenang negara, Janetty John Fabian serta Loo Yie Bing.

Hajiji diiringi Ellron (kiri) menyampaikan replika cek insentif kemenangan Sukan SEA Hanoi 2021 kepada pemenang pingat emas sukan berbasikal, Natahsya Soon pada Majlis Meraikan Pencapaian Altet Sabah di Menara Kinabalu.

“Kita juga ada atlet yang menang pingat emas di Sukan SEA di Hanoi baru-baru ini seperti Andre Anura Anuar dalam acara lompat kijang; Jellson Jabilin (akuatik terjun), Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (memanah) dan Natahsya Soon (berbasikal).

“Justeru, saya meminta kementerian mencungkil lebih ramai bakat baharu dalam sukan agar ada kesinambungan dan pelapis. Saya pasti ramai anak muda kita yang berbakat sama ada dalam olahraga, badminton, renang dan berbasikal yang boleh diketengahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Meraikan Pencapaian Atlet Sabah sempena Temasya Sukan SEA Ke-31, Hanoi 2021, di Dewan Bankuasi Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong; Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah, Andi Muhammad Suryady Bandy dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sabah, Mansur Asun.

Sehubungan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri dalam Belanjawan 2022 memperuntukkan sebanyak RM52.02 juta untuk pembangunan sukan termasuk membina prasarana dan fasiliti sukan di Sabah.

“Program pembangunan sukan bukan sahaja disasarkan untuk melahirkan rakyat yang sihat dan cergas tetapi juga ke arah melakar nama negeri di peringkat antarabangsa, selain melahirkan lebih ramai atlet muda di negeri ini,” katanya.

Hajiji turut merakamkan ucapan tahniah kepada semua atlet kerana menjadi wira negara atau rakyat yang terbaik daripada 32 juta penduduk Malaysia untuk mewakili negara ke temasya sukan berprestij peringkat Asia Tenggara itu.

“Kami sangat berbangga dengan pencapaian anda semua kerana telah membawa kejayaan kepada negeri dan negara. Apa yang lebih membanggakan atlet kita telah membantu membawa pulang empat pingat emas, empat perak dan 11 gangsa.

“Ini membuktikan bahawa anda telah menjadi atlet terbaik daripada kira-kira 681 juta penduduk di Asia Tenggara. Syabas.

“Justeru, saya berharap majlis pada hari ini menjadi pembakar semangat kepada semua atlet negeri ini agar mencapai lebih banyak kejayaan pada masa hadapan,” katanya.

Beliau menambah, sebahagian besar daripada 42 atlet dari Sabah masih layak mewakili negeri ke Sukan Malaysia yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada September depan.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut menyampaikan replika cek insentif kemenangan berjumlah RM71,450 kepada 23 pemenang pingat termasuk dalam acara berpasukan yang mewakili kontinjen negara dalam Temasya Sukan SEA Ke-31 di Hanoi, baru-baru ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|