UMS berpotensi jadi contoh IPT lain berkaitan persekitaran selamat dan sihat

UMS berpotensi jadi contoh IPT lain berkaitan persekitaran selamat dan sihat

Kota Kinabalu: Universiti Malaysia Sabah (UMS) berpotensi menjadi model untuk persekitaran kerja yang selamat dan sihat sebagai contoh kepada insititusi pengajian tinggi (IPT) yang lain di negara ini.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin berkata, usaha kakitangan Pusat Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PKKP) dengan kerjasama warga UMS telah meningkatkan kesedaran warga universiti mengenai kepentingan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam aktiviti seharian.

Majlis Perasmian Sambutan Hari OSH Sedunia Peringkat UMS tahun 2022 dan Sambutan Ulang Tahun ke-10 PKKP UMS dihadiri warga UMS.

Katanya, pihak pengurusan sentiasa mengadakan program berkaitan KKP bagi memastikan pekerja sentiasa mengamalkan budaya kerja selamat dan sihat sebagai usaha mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan di UMS dan peringkat nasional.

“Tahun ini dunia bukan sahaja masih berdepan dengan pandemik Covid-19, bahkan bencana alam yang telah berlaku di beberapa tempat di negara ini mengakibatkan kerosakan harta benda dan kemalangan jiwa.

“Justeru, pihak universiti akan terus memperkasakan pelan kesiapsiagaan dan tindakan kecemasan dalam menghadapi sebarang kemungkinan bencana di universiti ini,” katanya.

Taufiq berkata demikian dalam ucapan Majlis Perasmian Sambutan Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Sedunia Peringkat UMS 2022 dan Sambutan Ulang Tahun ke-10 PKKP UMS, di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMS, Prof Madya Dr Raman Noordin.

Hadir sama, Pendaftar UMS, Luqman Ridha Anwar; Pengarah PKKP UMS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Prof Dr Khamisah Awang Lukman dan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) merangkap penganjur bersama Prof Dr Mohammad Saffree Jeffree.

Taufiq dalam pada itu merakamkan ucapan syabas kepada PKKP atas pencapaian cemerlang dalam merealisasikan pembudayaan kerja selamat dan sihat di UMS.

“Harapan saya, PKKP terus maju dan cemerlang setanding dengan pemain industri KKP di peringkat nasional dan seterusnya di peringkat dunia,” katanya.

Antara pencapaian cemerlang PKKP adalah menjadikan UMS salah sebuah universiti awam yang menerima pengiktirafan Pensijilan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan bertaraf antarabangsa bagi standard OH-SAS 18001:2008 dan MS 1722:2011 sejak 2015, sebelum beralih ke standard ISO45001:2018 pada 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|