Utamakan rakyat Sabah isi jawatan kesihatan – STAR

Utamakan rakyat Sabah isi jawatan kesihatan – STAR

Kota Kinabalu: Sabah mengalu-alukan jaminan lebih banyak tenaga kerja dalam perkhidmatan penjagaan kesihatan, namun rakyat negeri ini harus diberi keutamaan dalam pengisian jawatannya.

Timbalan Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Rizal Johari berkata, ia bagi memastikan peluang pekerjaan di negeri ini diutamakan untuk rakyat tempatan, khususnya jawatan kerajaan persekutuan.

“Kita mengalu-alukan rancangan untuk menghantar lebih 100 pakar dan lebih 1,000 jururawat sebelum akhir tahun ini.

“Bagaimanapun, adalah menjadi kepentingan terbaik bagi wilayah ini dan rakyatnya jika jawatan itu dipenuhi oleh rakyat Sabah.

“Sudah tentu, ia adalah berdasarkan kepada kelayakan mereka tetapi jika kita ada pakar perubatan contohnya, keutamaan mesti diberikan kepada mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Rizal berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang memberi jaminan bahawa Sabah dan Sarawak boleh mengharapkan fasiliti penjagaan kesihatan, lebih tenaga kerja dan peningkatan manfaat menerusi inisiatif Kementerian Kesihatan menyediakan Kertas Putih Kesihatan.

Khairy dilaporkan berkata bahawa beliau berharap untuk melihat Hospital Queen Elizabeth (QEH), Hospital Duchess of Kent Sandakan dan Hospital Tawau masing-masing mempunyai 49 pakar menjelang akhir tahun ini.

Dalam pada itu, Khairy turut mengumumkan rancangan untuk memodenkan fasiliti perubatan di negeri-negeri Borneo.

Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan bahawa keadaan geografi, pembiayaan, kemudahan kesihatan, kekurangan tenaga kerja dan peralatan ketinggalan zaman merupakan antara cabaran yang dihadapi dalam sistem penjagaan kesihatan negeri ini.

Beliau turut menyatakan bahawa nisbah doktor kepada populasi di Sabah ialah 1: 872 berbanding purata di seluruh negara pada 1: 441.

Rizal berkata, semua itu menunjukkan kepada masa depan yang sangat menjanjikan untuk Sabah di bawah Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Sesiapa sahaja boleh mempolitikkan apa-apa isu tetapi pada akhirnya, apa yang paling penting kepada rakyat adalah prestasi dan pelaksanaan.

“Sabah sangat memerlukan perkhidmatan penjagaan kesihatan dan kemudahan perubatan yang lebih baik, dan kami ingin memastikan semua orang, terutama masyarakat luar bandar, mempunyai akses mudah kepada mereka.

“Kita tidak perlu memohon ini kerana kesihatan adalah hak asasi manusia sejagat yang kerajaan berkewajipan untuk penuhi.

“Bagi kakitangan penjagaan kesihatan, kita tidak boleh tekankan secukupnya bahawa rakyat kita datang dahulu. Jururawat Sabah mungkin ada yang bekerja di hospital kerajaan atau swasta di negeri-negeri lain.

“Sesetengah daripada mereka mungkin ingin pulang untuk berkhidmat kepada masyarakat mereka sendiri,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|