SMK Tebobon, SMK Likas terpilih terima sumbangan buku MBKM

SMK Tebobon, SMK Likas terpilih terima sumbangan buku MBKM

Kota Kinabalu: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon dan SMK Likas antara dua sekolah di sekitar ibu negeri terpilih menerima sumbangan buku daripada Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM).

Sumbangan buku dengan kerjasama daripada pihak pengusaha industri buku seperti Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), PNI Neuron dan syarikat Penerbitan Nadi Ilmu itu bertujuan mengembangkan budaya membaca rakyat Malaysia melalui kolaborasi dengan penggiat dan pengusaha industri buku.

Pengarah MBKM, Mohd Khair Ngadiron berkata, penubuhan MBKM yang ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) pada 1968 adalah dengan membawa visi untuk memartabat budaya membaca dan memperkasa industri perbukuan.

“Antara galakan aktiviti perbukuan yang dilaksanakan adalah Pesta Buku Negeri dengan Kerjasama Pustakawan Negeri dan persatuan-persatuan perbukuan.

“Pada 15 hingga 18 September ini akan berlangsungnya Pesta Buku Kinabalu 2022 di ruang legar Perpustakaan Negeri Sabah, Cawangan Tanjung Aru hasil kerjasama MBKM dan Pustakawan Sabah,” katanya ketika berucap pada Program Transformasi Pembelajaran menggunakan Kemahiran Peta Minda Visual bagi tahun 2022 di SMK Tebobon, di sini, semalam.

Yang turut hadir Presiden Persatuan Pengeksport dan Pengimport Buku Malaysia (MBEIA), Datuk Dr Ivan Hoe Wat Sing dan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Salleh Linggam.

Mohd Khair berkata, MBKM turut mengambil peluang itu untuk bekerjasama dengan penerbit dan pengusaha industri buku untuk memberi semula kepada rakyat dengan menyumbang buku kepada warga sekolah yang terpilih.

“Hal ini selaras dengan salah satu misi MBKM iaitu mengembangkan budaya membaca rakyat Malaysia melalui kolaborasi dengan penggiat dan pengusaha industri buku.

“Alhamdulillah, SMK Tebobon dan SMK Likas menjadi sekolah yang bertuah untuk menjayakan program ini,” katanya.

Tambah beliau lagi, MBKM tidak menyangka mendapat sambutan dan kerjasama oleh guru di kedua-dua sekolah yang dilihat amat luar biasa.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada guru-guru yang sanggup mengorbankan masa dan tenaga demi memastikan program ini berjalan dengan lancar.

“Kami berharap guru dan pelajar dapat memanfaatkan alat bantu mengajar, bahan bacaan dan buku yang diterima.

“Selain itu, kami turut berharap program seperti ini akan terus dijalankan pada masa akan datang bersama penggiat industri buku yang lebih banyak demi menjamin kecemerlangan anak bangsa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|