Kota Kinabalu: Bahasa Kadazandusun dan Cina wajar dimasukkan sekali dalam usul mewujudkan bahasa rasmi kedua di Sabah bersama Bahasa Inggeris seperti dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang untuk dibentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Gee Tien Siong, berkata dua ADUN terbabit, masing-masing adalah penutur bahasa Hakka dan Kadazandusun, namun lebih mengambil berat untuk menjadikan bahasa ‘asing’ sebagai bahasa rasmi Sabah.
“Mari kita lihat di Singapura contohnya, negara itu mempunyai empat bahasa – Melayu, Cina, Tamil dan English. Semua adalah bahasa rasmi dan setara, manakala bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
“Semua empat bahasa itu digunakan untuk nama jalan, papan tanda awam, pengumuman rasmi dan sebagainya di Singapura.
“Selain itu, pelbagai dialek boleh digunakan secara bebas dalam kalangan komuniti. Ini apa yang kita boleh ikut, untuk memberikan status yang sewajarnya dan mengukuhkan bahasa kita sendiri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dan ADUN Luyang, Phoong Jin Zhe menerusi satu kenyataan bersama memaklumkan pihak mereka mengemukakan usul kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Sabah.
Kedua-dua mereka turut mengusulkan desakan untuk menubuhkan semula Inter-Government Committee (IGC) Perjanjian Malaysia pada persidangan DUN yang akan berlangsung pada 18 hingga 21 Julai ini.
Menurut mereka, kedua-dua usul itu penting bukan hanya kerana berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Inter-Governmental Committee (IGC) 1962, tetapi bagi menjadikan rakyat Sabah boleh bersaing dengan lebih progresif melalui penguasaan Bahasa Inggeris.
Sementara itu, Tien Siong, berkata disebabkan penurunan pelbagai bahasa anak negeri di Sabah dan untuk memelihara bahasa unik itu di wilayah ini, perhatian yang lebih sepatutnya diberikan terhadap usaha itu.
Katanya, ketika ini berita dalam bahasa Kadazandusun hanya boleh dilihat melalui portal internet memandangkan tiada lagi akhbar menerbitkan berita dalam bahasa itu.
“Ia akan berdepan kepupusan jika tidak dilindungi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan semua wakil rakyat, khususnya pembangkang untuk melaksanakan tugas mereka secara serius dengan mengutamakan rakyat, berbanding melakukannya semata-mata untuk menarik publisiti dan manfaat politik.
Katanya, kerajaan negeri juga perlu mewujudkan institut pembelajaran mengenai pelbagai bahasa etnik di Sabah bagi membolehkan bahasa yang berdepan kepupusan itu terus berkembang maju seiring dengan kepelbagaian budaya negeri ini.
-Deasoka