Maritim Malaysia patahkan dua cubaan seludup petrol di Semporna

Maritim Malaysia patahkan dua cubaan seludup petrol di Semporna

Semporna: Tindakan berterusan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup keluar minyak petrol bersubsidi di perairan daerah ini, semalam.

Dalam operasi jam 2.30 petang itu, semua 1,250 liter minyak petrol yang berjaya dirampas bersama bot dan enjin dianggarkan bernilai keseluruhan RM23,000.

Bot membawa petrol dipercayai cuba diseludup ditahan Maritim Malaysia di perairan Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, kedua-dua bot berkenaan dikesan dalam tugasan rondaan rutin operasi Op Pluto Timur.

Katanya, kes pertama dikesan selepas sebuah bot enjin sangkut ditemui dalam keadaan mencurigakan di kedudukan kira-kira 2.4 batu nautika utara Terumbu Pasalat, di sini.

“Pasukan operasi terus cuba menghampirinya namun tekong terbabit bertindak terjun meninggalkan bot dan enjin sangkut tanpa nombor pendaftaran berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, pasukan operasi menemui 625 liter petrol dipercayai untuk diseludup ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Norrimi berkata, kes kedua pula membabitkan sebuah lagi bot enjin sangkut dengan nombor pendaftaran tempatan yang berjaya dipintas di lokasi 1.1 batu nautika Utara Tanjung Panto-Panto, di sini.

Katanya, tekong bot melarikan diri dengan meninggalkan bot dan berenang ke arah kawasan cetek selepas menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Pemeriksaan terhadap bot kedua berkenaan turut menemui 625 liter petrol juga dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.

“Kedua-dua bot terus dibawa ke Jeti Maritim Semporna sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya.

Norrimi berkata, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Bekalan 1961 dan siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot serta dalang di sebalik kegiatan berkenaan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, Norrimi berkata, Zon Maritim Semporna akan terus memperkasakan rondaan dan penguatkuasaan di sekitar kawasan ‘hot spot’ terutamanya sekitar sempadan perairan negara.

Katanya, ia bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini melalui jalan laut.

“Maritim Malaysia menyeru kepada mana-mana individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan atau lain-lain kegiatan jenayah maritim untuk menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619 atau MERS 999,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|