Kanak-kanak hilang ditemui lemas dalam parit

Kanak-kanak hilang ditemui lemas dalam parit

Beaufort: Seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang dari rumah keluarganya di Kampung Kuridak, Gadong, di sini, semalam, ditemui meninggal dunia dipercayai akibat lemas dalam parit, pagi tadi.

Muhammad Qays Izhar Abd Halim yang berusia tiga tahun ditemukan pasukan operasi pada jam 10.23 pagi, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan kanak-kanak terbabit pada jam 10.30 pagi, semalam.

Katanya, susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) segera dijalankan.

“Pada jam 10.23 pagi tadi, mayat kanak-kanak terbabit ditemui di dalam parit, kira-kira 70 meter dari tempat mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat kanak-kanak terbabit ditemukan penduduk kampung bersama pasukan polis dan bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mayat kanak-kanak terbabit sudah dihantar ke Unit Forensik Hospital Beaufort untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung status terkini pencarian seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan yang hilang dari rumahnya di Kampung Batu 66, di sini, semalam, Yusoff Zaki berkata, mangsa masih belum ditemui.

Katanya, mangsa dikhuatiri jatuh sungai atau hilang di hutan selepas keluar dari rumahnya dan operasi mencari dan menyelamat masih giat dilakukan.

“Usaha pencarian masih giat dijalankan oleh pasukan polis dan bomba dengan bantuan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9),” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|