Usul percaya dibentang di Dewan Rakyat 19 Disember – Anwar

Usul percaya dibentang di Dewan Rakyat 19 Disember – Anwar

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mengemukakan usul percaya terhadap Perdana Menteri sebagai agenda utama pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat yang dijadual pada 19 Disember depan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata usul itu bagi menentukan keabsahannya sebagai Perdana Menteri berikutan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini yang mempertikai perkara itu.

“Saya menjelaskan bahawa kita akan tetapkan sidang Parlimen pada 19 haribulan dan usul pertama selain angkat sumpah iaitu usul kerajaan ialah undi percaya.

“Bagi saya tidak timbul keresahan kita tentang keabsahan,” katanya pada sidang media pertamanya sebagai Perdana Menteri, malam ini.

Anwar menjelaskan, sebelum upacara angkat sumpah jawatan Perdana Menteri petang tadi, kerajaan baharu pimpinannya dibentuk bersama tiga komponen utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, kerajaan yang dibentuk itu adalah kerajaan perpaduan yang menggabungkan kerjasama tiga komponen utama berkenaan selain parti lain seperti MUDA, Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan WARISAN.

“Maka dengan jumlah induk ini, kekuatan PH sebagai blok terbesar Parlimen, diikuti BN sebanyak 30 kerusi dan GPS sebanyak 22.

“Saya mendapat pengesahan sahabat saya, Abang Johari (Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg) bahawa mereka bersama dalam kerajaan perpaduan.

“Jadi soal kestabilan tidak berbangkit. Soalnya apakah kerajaan perpaduan itu, ia turut disertai parti lain seperti WARISAN, MUDA, PBM dan kita juga tidak menolak penyertaan parti lain,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|