Pemandu cedera, kereta terbabas sebelum terbakar

Pemandu cedera, kereta terbabas sebelum terbakar

Keningau: Seorang pemandu cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit lalu terbakar dalam kejadian di Kilometer 88.2 Kampung Kitou, Tambunan, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang itu, mangsa yang belum dikenalpasti identitinya cedera dan dihantar ke hospital oleh orang awam.

Anggota bomba memadamkan api selepas sebuah kereta Perodua Alza terbakar di Kilometer 88.2 Kampung Kitou, Tambunan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.09 petang.

Katanya, sepasukan sembilan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Perodua Alza dipercayai terbabas sendiri masuk ke dalam parit lalu terbakar.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran dan sumber air dari tangki jentera. Kereta terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, terdapat seorang mangsa dipercayai terbabit telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.

“Operasi terkawal pada jam 5.45 petang dan operasi tamat sepenuhnya tujuh minit kemudian,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|