USIA kaji semula perjanjian terdahulu yang merugikan

USIA kaji semula perjanjian terdahulu yang merugikan

Putatan: Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) memanfaatkan sumber sedia ada selain mempelbagaikan pendekatan yang berdaya maju untuk menjana pendapatannya.

Yang Dipertua USIA, Datuk Sapawi Ahmad berkata, ia termasuk mengkaji semula perjanjian yang telah dimeterai terdahulu dan dilihat merugikan USIA, khususnya yang melibatkan pembangunan aset atau hartanah milik USIA

Sapawi memotong pulut kuning sempena Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA. – Gambar ihsan Mohd Adam Arinin

Menurutnya, usaha itu akan dilaksanakan berdasarkan Pelan Strategik Pembugaran USIA yang berfungsi sebagai penggerak kepada diskusi ilmu dan penghayatan Islam, selain memperkukuhkan pengurusan kewangan.

“Sebagai satu contoh klasik, tanah FMU seluas 10,000 ekar milik USIA yang telah dibuat perjanjian dengan Tabung Haji Plantation Sdn Bhd sejak 18 tahun yang lalu. Dalam tempoh berkenaan, USIA langsung tidak mendapat sebarang hasil.

“Perjanjian seperti inilah yang sedang diperhalusi dan dikaji supaya USIA tidak terus menerus menanggung kerugian,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA ke-36, di Pan Borneo Hotel, di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, katanya, USIA turut mempunyai beberapa lagi aset yang di negeri ini yang turut diberikan perhatian serta kajian terperinci.

“Seperti mana kita ada sebuah bangunan di Lahad Datu, tanah kita di Sembulan dan beberapa lagi tanah lain yang memerlukan kajian yang lebih terperinci.

“Ini agar ia dapat memberikan keuntungan kepada USIA sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) secara lebih berintergriti,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai bangunan USIA di Sembulan, beliau berkata, kajian dan penilaian semula oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) mendapati ia masih dalam keadaan selamat.

Justeru, katanya, bangunan itu sendiri mempunyai aspek potensi untuk mendapatkan sumber kewangan.

“Iaitu dari segi pengiklanan, papan iklan digital di samping beberapa tingkat telah dilamar oleh beberapa syarikat yang mempunyai potensi jangka panjang untuk dibuat usaha sama,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|