Kawasan luar bandar berpotensi dijadikan pusat pemerhatian burung – Joniston

Kawasan luar bandar berpotensi dijadikan pusat pemerhatian burung – Joniston

Kota Kinabalu: Kawasan luar bandar Sabah berpotensi besar sebagai hotspot memerhati burung, membuka peluang pendidikan dan ekonomi untuk masyarakat setempat.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan, dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai berkata, aktiviti tersebut sesuai untuk disepadukan ke dalam inisiatif pelancongan berasaskan komuniti yang akan menarik pengunjung baru ke kawasan luar bandar.

Menurut beliau, peminat aktiviti itu sanggup terbang ke seluruh negara, malah ke tempat terpencil, untuk melihat satu spesies burung yang jarang ditemui.

Justeru itu, katanya, masyarakat luar bandar harus memanfaatkan peluang itu sebaik mungkin dengan memanfaatkan pasaran memerhati burung.

“Penduduk kampung mempunyai kepakaran tempatan mengenai spesies burung yang tersendiri yang boleh dilihat di kawasan mereka.

“Mereka boleh menawarkan perkhidmatan bimbingan berkaitan burung, selain daripada aktiviti biasa dan ia juga salah satu cara untuk menggalakkan orang ramai tinggal lebih lama di luar bandar,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Beliau yang juga merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata, kawasan luar bandar bersama flora dan fauna yang tidak terusik menyediakan tempat persembunyian yang bagus untuk burung.

Tambahnya, Sabah merupakan rumah kepada lebih 600 spesies burung yang berbeza.

Pada Jumaat, Sabah Birdwatchers Association telah berjumpa dengan Joniston untuk berbincang mengenai cadangan program bagi tahun 2023, yang membabitkan penganjuran bengkel, pertandingan fotografi dan lain-lain.

Kumpulan itu, diketuai oleh Presiden, Roger Rajah, turut membincangkan potensi kerjasama dalam projek pilot di Kiulu dan bahagian lain di negeri ini, khususnya mengenai penganjuran bengkel untuk menyebarkan ilmu kepada penduduk luar bandar yang menjalankan perniagaan pelancongan berasaskan komuniti.

Manakala, menurut Naib Presidennya, Ron Pudin, Kiulu merupakan lokasi yang sesuai untuk projek pilot berkenaan kerana walaupun merupakan destinasi eko-pelancongan yang hebat, tidak ramai yang mengunjunginya untuk aktiviti memerhati burung.

Katanya, terdapat ahli mereka yang menemui spesies burung terancam di Kiulu pada awal tahun ini, menekankan keperluan untuk penyelidikan burung di kawasan itu dan program kesedaran masyarakat

Dalam pada itu, sambil menyatakan sokongan, Joniston berkata, pihak STB akan membantu mana-mana projek yang boleh memberu manfaat kepada masyarakat luar bandar dan pelancongan dan mencadangkan agar mereka bekerjasama dengan Persatuan Persekutuan Pelancongan Luar Bandar Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|