Pemimpin dan parti politik di Sabah perlu bersatu dan menjalin persefahaman – Mandela

Pemimpin dan parti politik di Sabah perlu bersatu dan menjalin persefahaman – Mandela

Kota Kinabalu: Pemimpin dan parti politik di Sabah digesa supaya bersatu dan menjalin persefahaman sesama mereka sebagai satu langkah ke arah menamatkan sejarah panjang yang menyaksikan politik kemusnahan di negeri ini.

Pemimpin pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ceasar Mandela Malakun, berkata tanpa perpaduan dan persefahaman, tidak mungkin ada keamanan di Sabah.

“Jika pemimpin dan ahli politik tidak berdamai, Sabah tidak akan aman dan masa depan kita bersama terancam. Kelangsungan hidup rakyat Sabah dalam konteks negara dan dunia mungkin terancam.

“Sehubungan itu, mari kita tawarkan satu sama lain sesuatu yang bermanfaat. Mari kita bekerja bersama untuk menamatkan sejarah panjang politik kemusnahan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Ketua Menteri, berkata demikian sebagai mengulas kenyataan pemimpin Parti Warisan (WARISAN), Datuk Mohd Azis Jamman, Jo-Anna Sue Henley Rampas dan Mohd Fakhurazzi Aliuddin, baru-baru ini.

Mandela mencadangkan pemimpin muda seperti Jo-Anna dan Fakhurazzi memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan perubahan dari cara lama kepada cara yang baharu.

“Cukuplah dengan cara lama bermain politik yang mana satu pihak membuat serangan peribadi dalam pelbagai cara dengan harapan dapat dilihat sebagai pemimpin yang baik atau parti yang baik kepada rakyat.

“Kerap kali serangan seperti itu tidak semestinya bersifat peribadi. Sudah tiba masanya kita belajar untuk menjadi lebih matang dalam berpolitik.

“Sekali kita berbuat begitu, masyarakat kita akan berubah. Justeru, saya meminta semua ahli politik muda sama ada di pihak pembangkang atau kerajaan untuk memulakan perubahan,” katanya.

Beliau menekankan bahawa arena politik tidak mempunyai tempat di mana ahli politik membunuh karakter satu sama lain atau membuat serangan peribadi untuk memperlihatkan mereka sebagai baik dan relevan.

Katanya, beliau percaya rakyat juga mahu melihat ahli politik dan pemimpin secara berterusan memiliki sikap terbaik dan bertindak lebih profesional.

“Saya rasa kita semua boleh bersetuju bahawa rakyat sudah bosan dengan cara ramai ahli politik mengendalikan diri mereka.

“Mereka sudah bosan disuakan dengan maklumat mengenai bagaimana mereka berlawan antara satu sama lain tanpa penghujungnya.

“Mereka sudah letih melihat bagaimana ahli politik cuba menjatuhkan satu sana lain supaya mereka boleh naik,” katanya.

Namun, katanya ahli politik juga boleh menundukkan ego mereka dan dibimbing dengan nilai yang baik.

“Saya hanya seorang pemimpin muda sama seperti yang lain sama ada dalam GRS, WARISAN atau Pakatan Harapan (PH).

“Saya menjangkakan kita kini memasuki dunia politik pada masa dunia menyaksikan banyak detik penentuan transformasi.

“Tindakan berani Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor untuk meninggalkan parti nasional berasaskan kaum kepada parti pelbagai kaum Sabah dalam GRS menerima sokongan yang meluas daripada rakyat Sabah tanpa mengira kaum, warna dan agama.

“Menerusi ini, kita menyasarkan untuk memulakan bab baharu politik di Sabah,” katanya.

Mandela berkata, bersempena dengan Krismas dan kedatangan tahun baharu yang tidak lama lagi, ia adalah masa terbaik untuk semua pemimpin menganjurkan keamanan, kesatuan dan persefahaman.

“Ini adalah nilai yang sepatutnya membentuk asas kepada politik Sabah dan di atasnya kita bina perkara selebihnya termasuk masa depan ekonomi kita dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|