Ronald dakwa pembabitan GRS dalam perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan tidak sah

Ronald dakwa pembabitan GRS dalam perjanjian persefahaman Kerajaan Perpaduan tidak sah

Kota Kinabalu: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa pembabitan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Kerajaan Perpaduan menerusi perjanjian persefahaman yang ditandatangani bersama parti gabungan lain semalam sebagai tidak sah.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, mendakwa ia kerana BERSATU sebagai parti pengasas dan ahli GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan berhubung perjanjian persefahaman itu.

Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah itu mendakwa, BERSATU masih ahli sah GRS, manakala Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor bukan lagi Pengerusi GRS yang sah kerana sudah keluar BERSATU.

“BERSATU adalah parti pengasas GRS. Menurut Fasal 6.1 (ii) Perlembagaan GRS, BERSATU adalah ahli yang sah Badan Gabungan itu.

“Selaku Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, saya memaklumkan bahawa BERSATU sebagai ahli Badan Gabungan GRS tidak pernah terbabit dalam sebarang perbincangan yang memutuskan supaya GRS memasuki perjanjian persefahaman dengan gabungan-gabungan parti lain untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang
diketuai oleh Pakatan Harapan (PH).

“Saya menegaskan bahawa Datuk Hajiji Noor yang dilantik sebagai Pengerusi GRS atas kapasiti beliau sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah sebelum ini, tidak lagi mempunyai keabsahan untuk kekal sebagai Pengerusi GRS kerana tindakan beliau keluar dari BERSATU,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Ronald berkata, keahlian Hajiji dalam GRS ketika ini hanyalah sebagai ahli individu, manakala kedudukan beliau sebagai Pengerusi GRS perlu diputuskan semula oleh Majlis Tertinggi GRS.

“Berikutan ini, perjanjian persefahaman gabungan parti-parti politik menyokong Kerajaan Persekutuan pimpinan PH yang ditandatangani Datuk Hajiji Noor sebagai Pengerusi GRS semalam tidak sah dan tidak mewakili aspirasi BERSATU melalui GRS,” katanya.

Hajiji mewakili GRS menandatangani perjanjian persefahaman parti gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan bersama PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Warisan (WARISAN), semalam.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|