Remaja lelaki hilang dikhuatiri lemas

Remaja lelaki hilang dikhuatiri lemas

Kuala Penyu: Seorang remaja berusia 17 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang di pesisir pantai Kampung Tempurung, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, mangsa dikatakan pergi ke lokasi untuk aktiviti riadah bersama dua lagi rakannya.

Salah seorang remaja yang selamat diberi rawatan awal oleh pasukan bomba.

Bagaimanapun, ketiga-tiga mereka dilaporkan hilang sebelum dua rakannya yang berusia 15 dan 17 tahun ditemui selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.36 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai bersama jentera dan bot terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Dua mangsa yang sebelum itu dilaporkan ditemui dalam keadaan selamat manakala seorang lagi mangsa masih hilang.

Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di lokasi mangsa dikhuatiri lemas.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dimulakan dengan kaedah pencarian Surface Water Rescue pada jam 5.54 petang menggunakan Bot Penyelamat bomba,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, radius pencarian SAR dijalankan sekitar dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Setakat ini, mangsa masih gagal ditemui dan operasi pencarian terpaksa ditangguhkan pada jam 7.07 malam.

“Operasi SAR akan disambung semula pada pagi esok dan sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|