GLC digesa manfaatkan dasar mesra pelaburan kerajaan negeri

GLC digesa manfaatkan dasar mesra pelaburan kerajaan negeri

Kota Kinabalu: Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri digesa untuk memanfaatkan sepenuhnya dasar mesra pelaburan kerajaan negeri yang dilaksanakan di bawah Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata langkah itu bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi Sabah.

Katanya, pendekatan itu membolehkan kerajaan menerima RM12 juta pelaburan asing dan RM942 juta pelaburan domestik.

Pada masa sama, katanya kemasukan pelaburan itu juga berjaya mewujudkan lebih 5,000 pekerjaan dalam tempoh dua tahun sejak September 2020.

Beliau yakin dengan pengalaman sedia ada dan kredibiliti, GLC memiliki keupayaan untuk terus bergerak ke hadapan dalam perniagaan masing-masing dan menyumbang secara langsung kepada aspirasi SMJ.

Di pihak kerajaan, katanya ia akan terus meningkatkan kapasiti dan menggembleng pembabitan GLC dalam minyak dan gas, mineral, pertanian, akuakultur dan sumber marin.

“Kekayaan sumber alam Sabah mesti dijadikan modal untuk menjana hasil dan pertumbuhan ekonomi ke tahap optimum menerusi pembabitan GLC dalam sektor industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Jubli Emas Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam tadi.

Teks ucapannya disampaikan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Datuk Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata sebagai agensi tertua di Sabah yang berperanan merangsang pemulihan ekonomi, mengukuhkan ekonomi rakyat dan membina sumber tenaga manusia negeri, SEDCO mesti memastikan ia kekal relevan dan lebih berdaya saing sejajar dengan kehendak ekonomi semasa.

Jelasnya, walaupun diakui ia bukan tugas yang mudah khususnya selepas pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu, ia adalah cabaran yang perlu dihadapi SEDCO.

“Saya percaya ia boleh dilaksanakan dengan adanya dedikasi, keinginan, visi dan idea baharu daripada pengurusannya.

“Komitmen setiap individu perlu sentiasa digerakkan secara bersepadu dan proaktif bagi mencapai semua objektif yang diinginkan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|