Usahawan kerepek jana pendapatan RM100,000 sebulan

Usahawan kerepek jana pendapatan RM100,000 sebulan

Kota Kinabalu: Dengan hanya menjual kerepek, seorang wanita kelahiran Semporna tidak menyangka perniagaan yang diusahakan secara kecil-kecilan kini semakin melebar sehingga berjaya mewujudkan kilang untuk memproses kerepek.

Rosmawati Sanda, 49, berkata, perniagaan itu hanya bermula dengan membekalkan kerepek kepada peniaga kantin di sekitar Kota Kinabalu.

Rosmawati menyusun kerepek yang telah dibungkus sebelum diedarkan kepada pelanggan sekitar Sabah.

Katanya, dia menubuhkan perniagaan itu bermula sejak 2002 namun berdepan dengan pelbagai cabaran dan sehingga kini sudah mencapai 20 tahun dalam industri makanan ringan.

“Sebenarnya, perniagaan ini hanya dilakukan dengan bengkel saja di Kota Belud dan masuk ke kilang pada awal 2020 ketika pandemik melanda.

Rosmawati dan suami membuat pemeriksaan kualiti kerepek yang mereka usahakan di kilang di Kota Kinabalu.

“Produk yang kami usahakan berasaskan dari ubi kayu dan pisang yang dipelbagaikan perisa iaitu kerepek ubi pedas, kerepek ubi keju dan kerepek pisang gula melaka,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bercerita lanjut, perniagaannya itu hanya menggunakan modal permulaan sebanyak RM5,000 saja.

“Jualan pertama kami menghantar ke kantin-kantin sekolah dan kami dapat wang modal pusingan itulah yang kami kumpul sebenarnya.

“Pada mulanya kami cuma menggunakan bungkusan biasa untuk dihantar ke sekolah-sekolah, kemudian apabila kita sudah ada kemampuan sedikit, kita naik taraf plastik yang lebih baik,” katanya.

Katanya, dia memilih produk ubi kayu itu selepas menemui resepi yang menarik perhatiannya dan seterusnya kerepek dikomersialkan sebagai produk makanan ringan yang menjadi kegemaran ramai.

“Saya tertarik dengan kaedah yang dibuat oleh seorang tenaga pengajar dan resepi yang saya peroleh juga diubah suai mengikut kesesuaian.

“Ketika itu saya masih bekerja makan gaji tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerja bersama suami dan seterusnya mengusahakan secara serius kerepek berkenaan,” katanya.

Rosmawati berkata, sehingga kini dia berjaya mengeluarkan sebanyak 20 tan kerepek dan diedarkan kepada pelanggan serta ejen di sekitar Sabah dan di Semenanjung.

“Ketika ini kami berjaya menjana pendapatan sehingga RM100,000 sebulan selepas kerepek kami berjaya menembusi pasaran di pasar-pasar raya sekitar Sabah dan ketika ini dalam usaha untuk memasarkannya ke Semenanjung.

“Malah, kami juga berjaya memperoleh beberapa mesin untuk tujuan memproses kerepek menerusi geran daripada pelbagai agensi termasuk SME Corp, SIRIM dan sebagainya,” katanya.

Beliau dalam pada itu berharap perniagaannya itu dapat menembusi pasaran luar negara kerana menyedari potensinya yang boleh berkembang dengan lebih baik.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|