Sandakan: Sebanyak 305 paket minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup keluar berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Sungai Besar Tanjung Aru, di sini, kelmarin.
Dalam operasi jam 12.20 tengah hari itu, semua minyak masak berkenaan ditemui disembunyikan di dalam sebuah bot yang berdaftar atas lesen perikanan.
Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan didapati tersorok dan bertambat pada batang pokok bakau.
Katanya, bot yang ditemui tanpa pemilik itu dipercayai dibiarkan selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa melakukan rondaan di sekitar kawasan berkenaan.
“Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan 18 kotak besar berisi 305 paket minyak masak bersubsidi.
“Semua minyak masak paket seberat satu kilogram itu disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Zainudin berkata, keseluruhan nilai rampasan kali ini termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut dianggarkan sebanyak RM21,000.
Katanya, semua rampasan kemudiannya dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-Deasoka