Lahad Datu: Seorang pekerja warga asing di Ladang Sahabat 22, di sini, maut selepas disyaki dibaham buaya ketika menangkap ikan di Pantai Sungai Bilis, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 malam itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Menurut sumber, mangsa seorang warganegara Filipina itu dikatakan keluar bersama dua lagi rakannya untuk memanah ikan.
Bagaimanapun katanya, ketika sedang memanah, mangsa dipercayai diserang seekor buaya dan terus ditarik ke arah laut oleh reptilia berkenaan.
“Rakan mangsa yang terkejut dengan kejadian berkenaan terus membuat laporan polis kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di Tanjung Labian, di sini.
“Difahamkan, anggota PGA kemudiannya membantu mencari mangsa di sepanjang pantai Tanjung Labian,” katanya.
Menurutnya, mangsa ditemukan terapung di laut kira-kira jam 12 tengah malam dan terus diangkat keluar dengan bantuan anggota polis PGA dan penduduk kampung.
Katanya, mayat mangsa seterusnya dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya.
-Deasoka